PRU15: Dua calon Parlimen Sepanggar selesai membuang undi

PRU15: Dua calon Parlimen Sepanggar selesai membuang undi

Kota Kinabalu: Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Yakub Khan dan calon Parti Warisan, Datuk Azis Jamman selesai membuang undi bersama pasangan masing-masing di SMK Bandaraya, di sini, sebentar tadi.

Azis yang juga calon nombor satu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Sepanggar ini tiba di pusat pembuangan undi pada sekitar jam 9 pagi bersama isterinya Datin Norlizah Awang Ahmad.

Manakala calon nombor dua, Yakub pula hadir di pusut pengundian bersama pasangannya, Datin Salinah Usman pada jam 9.20 pagi.

Sementara itu, Yakub ketika ditemui berkata, beliau berharap kehadiran pengundi lebih ramai pada sebelah pagi memandangkan ramalan cuaca hujan di sebelah petang.

“Pengundi-pengundi digalakkan untuk keluar awal, berikutan keadaan cuaca yang diramalkan hujan di sebelah petang.

“Saya berharap, semua pengundi boleh menunaikan tanggungjawab dengan membuat pilihan yang tepat dan bijak demi kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menunaikan tanggunjawab mengundi di SMK Bandaraya, hari ini.

Sementara itu, tinjauan Deasoka.com di pusat pengundian SMK Bandaraya mendapati, orang ramai sudah mula berbaris seawal jam 7 pagi sebelum ia dibuka secara rasmi pada jam 7.30 pagi.

Malah, beberapa pengundi yang terdiri daripada mereka yang berkerusi roda, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas turut dilihat hadir untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Untuk rekod, Parlimen P171 Sepanggar menyaksikan pertandingan antara Datuk Mohd Azis Jamman (penyandang) dari (WARISAN); Datuk Yakub Khan (BN); Yusof Kunchang (PEJUANG); Mustapha Sakmud (PH) dan Jumardie Lukman (PKDM).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|