PRU15: Empat beradik mengundi pertama kali antara terawal mengundi SMK Putatan

PRU15: Empat beradik mengundi pertama kali antara terawal mengundi SMK Putatan

Putatan: Empat beradik yang pertama kali mengundi pada PRU15 di pusat mengundi SMK Putatan, di sini, antara yang terawal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Keempat-empat mereka, Nurul Aishah Hasmarah (18), Nurul Aida Shakirah (20), Nurul Atikah (23) dan Nurul Ain Hazwani (26) tiba di pusat pengundian itu seawal jam 7 pagi bersama ibu mereka.

Menurut Nurul Aishah, mereka sekeluarga memang berniat untuk keluar mengundi seawal mungkin bagi mengelakkan kesesakan.

Katanya, PRU15 ini amat bermakna bagi dirinya kerana ia merupakan kali pertama beliau dan kakak-kakaknya turun mengundi.

“Kami bertolak dari Sepanggar, jadi kami memang berniat untuk turun mengundi awal bagi mengelak kesesakan. Kami bangun sekitar jam 5 pagi dan tiba di sini pada jam 7 pagi tadi.

“Memang rasa teruja kerana ini merupakan kali pertama saya mengundi, sesiapa pun yang mendapat mandat nanti, saya berharap agar mereka dapat mentadbir dengan baik,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, kakaknya, Nurul Aida turut menzahirkan keterujaan dalam menyempurnakan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Kami masih muda, jadi apabila dapat mengundi memang terasa sangat gembira.

“Kami memang mahu sebuah kerajaan yang baharu untuk memimpin negara ini, khususnya memberi tumpuan dan bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|