Nasib Azmin ditentukan hari ini

Nasib Azmin ditentukan hari ini

Gombak: Nasib penyandang kerusi P098 Parlimen Gombak akan terjawab hari ini apabila pusat pengundian mula dibuka jam 8 pagi.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang tiba di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Klang Gate kira-kira jam 8.30 pagi bersama isterinya, Datin Seri Shamsida Taharin kelihatan tenang sebaik melangkah ke pusat mengundi.

Beliau dan isteri dilihat berbaris bersama pengundi lain dalam keadaan cuaca yang hujan renyai.

Bercakap kepada media, Azmin yang juga calon PN meluahkan keyakinannya untuk kekal di kerusi Gombak pada pilihan raya kali ini.

“Saya percaya, rakyat mahukan kerajaan stabil dan kuat untuk menjamin masa depan negara. Kami (PN) juga akan lakukan yang terbaik.

“Saya yakin, proses pilihan raya akan berlangsung baik. Walaupun cuaca mendung, saya yakin proses ini akan disempurnakan dengan baik,” katanya.

Beliau berdepan empat pencabar lain antaranya Naib Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (BN), Jamaludin Mohd Tahir (GTA) dan calon bebas, Zulkifli Ahmad.

Mohamed Azmin memenangi kerusi itu atas tiket PKR dengan majoriti 48,721 undi pada PRU14 lalu.

Mohamed Azmin menjadi Ahli Parlimen Gombak selama tiga penggal atas tiket PKR sebelum keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tahun lalu.

Sementara itu, sebanyak 48 pusat mengundi dibuka bagi Parlimen Gombak membabitkan 206,232 daftar pemilih.

-Deasoka

Share

Written by:

1,531 Posts

View All Posts
Follow Me :
error: Content is protected !!