PRU15: Sedia bertanding jika diberi peluang – Shahelmey

PRU15: Sedia bertanding jika diberi peluang – Shahelmey

Penampang: Sedia bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya diberikan peluang oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN).

Itu jawapan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya ketika ditanya sama ada beliau sedia menerima jika dicalonkan.

“Sekiranya diberi kepercayaan oleh pucuk kepimpinan parti, ianya merupakan satu pengiktirafan dan amanah yang perlu dipikul.

“Ia bagi memastikan bahawa kita boleh memberi atau menyumbang satu kerusi kepada parti bagi tujuan menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penutupan Latih Amal & Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara anjuran Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah di Dewan Kebudayaan Penampang, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia tertakluk kepada pengumuman calon yang akan dibuat oleh parti dalam masa terdekat ini.

“Ini semua tertakluk kepada pengumuman pemilihan calon daripada parti saya. Buat masa ini belum ada pengesahan mahupun pengumuman, jadi kita tunggu pengumuman yang akan di buat dalam sedikit masa lagi.

“Jika diberikan peluang, sudah semestinya saya memilih Putatan tetapi ia adalah terpulang kepada pucuk kepimpinan parti, saya akur apapun keputusan yang dibuat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|