Penampang: Pelaksanaan latih amal dan simulasi bencana penting sebagai persediaan dalam menghadapi kesan bencana alam yang dijangka berlaku susulan ramalan Monsun Timur Laut.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, ianya akan memberi persiapan menyeluruh kepada semua jabatan dan agensi yang terlibat.
“Dalam kesibukan kita melakukan persediaan melalui mesyuarat pembentukan jawatankuasa, latih amal dan simulasi ini juga satu aktiviti yang bertepatan kerana ianya dapat mempraktikkan segala persediaan yang dilakukan.
“Bagi jabatan dibawah kementerian saya, iaitu Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am negeri, tugas secara langsung semasa kejadian bencana adalah untuk memastikan proses pendaftaran mangsa-mangsa bencana dibuat secara efektif dan efisyen di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Seterusnya adalah dengan menyediakan perlindungan, bekalan makanan serta khidmat kaunseling kepada mangsa yang mungkin menghadapi trauma dan sebagainya,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penutupan Latih Amal & Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara anjuran Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah di Dewan Kebudayaan Penampang, hari ini.
Sementara itu, Shahelmey berkata, sebanyak 223 PPS telah dikenalpasti di seluruh negeri dan mampu menampung lebih 124 ribu mangsa bencana dalam satu-satu masa.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pegawai Daerah Penampang, Francis Chong; Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah; Dominic Chong dan Ketua Polis Daerah Penampang; DSP Mohd Haris Ibrahim.
-Deasoka