Bukan ‘pengundi hantu’ tetapi rakyat Malaysia

Bukan ‘pengundi hantu’ tetapi rakyat Malaysia

Kuala Lumpur: Isu warga asing kononnya diberi MyKad untuk mengundi ketika pilihan raya kembali hangat diperkatakan terutama pihak tertentu yang dilihat sengaja menularkan perkara itu.

Susulan tersebarnya mesej palsu itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ingin merujuk terhadap dakwaan yang sedang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp dimana kononnya ramai warga Bangladesh diberikan MyKad menjelang pilihan raya.

Menurut kenyataan dikeluarkan JPN, pihaknya menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar sebaliknya MyKad hanya dikeluarkan kepada individu warganegara Malaysia yang layak sahaja berdasarkan peruntukan perundangan.

“JPN juga ingin menjelaskan bahawa paparan MyKad yang ditularkan dan didakwa milik warga Bangladesh itu adalah tidak benar. “Sebaliknya beliau adalah seorang warganegara Malaysia yang sah,” katanya, hari ini.

Menurut JPN, beliau telah diambil sebagai anak angkat secara sah dari sudut undang-undang dan dibesarkan oleh satu keluarga cina sejak dari lahir lagi.

“Malah, isu ini telah dilaporkan oleh pihak media yang menjelaskan bahawa individu tersebut adalah warganegara Malaysia.
“Satu laporan polis telah dibuat oleh JPN pada 23 Oktober tahun lalu berikutan penularan dakwaan palsu tersebut,” katanya.

Katanya, tindakan ini bukan sahaja boleh menjatuhkan imej dan menjejaskan kredibiliti JPN, malah ianya boleh mencetuskan kebimbangan awam.

“Laporan tersebut dibuat supaya pihak polis boleh menjalankan siasatan terhadap mana-mana pihak yang didapati menyebarkan dakwaan palsu berkenaan.

“Orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi.

“Tindakan undang-undang boleh diambil kepada mana-mana individu yang didapati menyebarkan maklumat palsu,” katanya.

Terdahulu, memetik laporan akhbar pada 2017, seorang lelaki berusia 34 tahun menarik perhatian ramai selepas MyKadnya menjadi tular di media sosial kerana dikatakan mempunyai penampilan yang tidak sepadan dengan namanya, sebenarnya adalah rakyat Malaysia.

Netizen mendakwa lelaki itu yang bernama Pang Chee Pin, merupakan warga Bangladesh disebabkan dia tidak kelihatan seperti orang Cina.

Kunjungan ke alamat di Segamat Baru yang tertera pada MyKad itu mendedahkan bahawa Pang dibesarkan oleh keluarga angkat berketurunan Cina sejak dia dilahirkan.
Bagaimanapun, dia tidak lagi menetap di sana.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|