PRU15: Rubin kesal tindakan Bung Moktar

PRU15: Rubin kesal tindakan Bung Moktar

Tenom: Penyelaras Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Tenom, Datuk Rubin Balang kesal dengan kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meminta Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengambil tindakan terhadap dirinya, termasuk memecatnya daripada jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ia berikutan dakwaan bahawa beliau terlibat menyokong dan membantu kempen anaknya, Riduan Rubin yang bertanding atas tiket Bebas (lambang Gajah) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di kerusi Parlimen Tenom, termasuk menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Rubin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong menjelaskan, keputusan anaknya, Riduan Rubin menyertai KDM dibuat anaknya sendiri setelah mendapat tawaran daripada Presiden KDM, Datuk Peter Anthony.

Katanya, pada 11 November 2022, Peter telah memanggil Riduan dan menawarkannya menjadi ahli KDM, iaitu sebelum hari pembuangan undi bagi mengelakkan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti.

“Saya difahamkan setelah Riduan dan penyokong-penyokongnya bersetuju dengan tawaran itu, pihak Peter telah menghubungi saya dan meminta saya datang ke pejabat Parti KDM.

“Mereka telah bertanya adakah saya membantah Riduan menyertai KDM. Saya memaklumkan bahawa saya tidak mempunyai kuasa dan hak untuk membantah atau berbuat apa-apa, memandangkan Riduan bukan lagi ahli BERSATU kerana telah meletak jawatan daripada parti, sebelum hari penamaan calon lagi.

“Selepas pertemuan singkat itu saya kemudiannya terus keluar dan beredar dari Pejabat KDM,” katanya dalam satu kenyataan bagi mengulas dakwaan yang beliau telah melanggar syarat perjanjian GRS-BN pada PRU15.

Sehubungan itu, Rubin amat kesal dengan tindakan dan gesaan Bung Moktar yang meminta Ketua Menteri mengambil tindakan terhadap dirinya supaya dipecat daripada jawatan GLC, tanpa fakta sebenar.

Rubin yang juga ADUN Kemabong berkata, harus diingat bahawa pada Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) 2020 yang lalu, beliau bertanding atas tiket Bebas.

“Setelah menang sebagai ADUN Bebas, saya dan rakan-rakan ADUN Bebas lain iaitu Datuk Masiung Banah dan Datuk Ruddy Awah telah dijemput untuk bersama-sama membantu menubuhkan kerajaan negeri iaitu di antara GRS dan BN/UMNO.

“Hasil daripada permuafakatan itu maka terbentuklah kerajaan negeri GRS-BN pada hari ini.

“Di bawah Kabinet kerajaan GRS-BN yang terbentuk, mereka mendapat jawatan penting, termasuk Bung Moktar yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah.

“Sekarang setelah kerajaan negeri GRS-BN memerintah lebih dua tahun, saya pula hendak dihalau keluar oleh mereka hanya disebabkan perasaan marah oleh Calon BN/UMNO Parlimen Tenom, Jamawi Jaafar kerana keputusan anak saya, Riduan bertanding sebagai calon Bebas.

“Bung Moktar sepatutnya sedar bahawa adalah tidak adil untuk melarang mana-mana pihak yang layak dan berminat untuk bertanding pada PRU15, kerana ini adalah negara demokrasi.

“Tindakan dan keputusan Riduan bertanding calon Bebas itu adalah kehendak dirinya dan penyokong-penyokongnya. Beliau berhak menentukan masa depan dan perjuangan politiknya.

“Saya berharap Bung Moktar yang matang dalam politik agar tidak mudah terpengaruh laporan tidak berasas oleh Jamawi yang sengaja mahu menjejaskan nama baik saya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|