PRU15: Kerjasama erat GRS-BN jaminan kemenangan calon kerajaan

PRU15: Kerjasama erat GRS-BN jaminan kemenangan calon kerajaan

Papar: Kerjasama erat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) meyakinkan calon GRS Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali untuk merampas kerusi berkenaan daripada Parti Warisan (WARISAN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Armizan berkata walaupun bertanding atas logo GRS, beliau juga mewakili BN dan parti lain yang bersama dengan kedua-dua gabungan berkenaan dalam misi mengembalikan kerusi Parlimen Papar ke tangan wakil rakyat kerajaan.

Armizan (tengah) bersama penyokong GRS-BN Parlimen Papar.

Jelasnya, beliau amat menghargai komitmen ditunjukkan jentera BN diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Tamin Zainal yang menyifatkan kemenangannya nanti sebagai kemenangan untuk BN juga.

“Untuk menang, saya perlukan sokongan semua. Saya tidak menang sekiranya jentera BN dan GRS saja yang membantu tetapi saya akan menang jika semua barisan GRS dan BN menyokong saya.

“Selain kesepakatan GRS-BN, ia juga dimekarkan dengan kerjasama lain, contohnya Parti Kesejahteraan Demikratik Masyarakat (KDM), begitu juga kita dapat sokongan PAS, Parti Cinta Sabah (PCS) dan badan bukan kerajaan (NGO) setempat.

“Jadi ingin saya tegaskan marilah kita hormati dan sepakati kerana muafakat GRS-BN bukan dari Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, tapi dijulang daripada muafakat GRS-BN dalam mandat rakyat yang lahir pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Himpunan Jentera Wanita Muafakat GRS-BN Papar sempena kempen PRU15 untuk Armizan yang turut dihadiri Hajiji, di sini, semalam.

Armizan berkata, aspirasi rakyat Sabah yang memberi mandat kepada GRS-BN untuk membentuk kerajaan negeri perlu dihormati demi kesejahteraan negeri dan pembangunan Sabah.

Beliau turut menekankan muafakat yang dijalin itu bukan hanya untuk menghadapi PRU15, sebaliknya berterusan demi untuk kebaikan rakyat dan daerah ini.

“Ada yang mungkin menyebut jangan hanya muafakat ini atau hubungan kerjasama ini dituntut pada musim PRU tapi selepas PRU ‘good bye’.

“Saya ingin ikrarkan bahawa selain mahu melihat kerjasama semua, komitnen padu semua, saya bertekad bahawa saya akan memimpin untuk semua sekiranya diberi mandat,” katanya.

Katanya, beliau turut mengambil inisiatif berjumpa pejuang atau pemimpin lama di Papar bagi mendapatkan restu dan sokongan mereka dalam usaha menawan semula kerusi Parlimen Papar.

Tambahnya, sepanjang di bawah wakil rakyat WARISAN, tiada apa yang dapat dilihat dibawa ke daerah ini, malah projek penting yang diluluskan ketika kerajaan BN sebelum ini dibatalkan.

PRU15 menyaksikan Armizan menentang penyandang kerusi Parlimen Papar, Ahmad Hassan (WARISAN), selain Nicholas Sylvester (PEJUANG), Norbert Chin (Bebas), Henry Shim Chee On (PH) dan Johnny Sitamin (Bebas).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|