PRU15: Kerajaan GRS-BN ada agenda besar bangunkan Tenom

PRU15: Kerajaan GRS-BN ada agenda besar bangunkan Tenom

Kemabong (Tenom): Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata Tenom yang berpotensi besar dalam sektor pertanian dan pelancongan penting diwakili oleh Ahli Parlimen daripada kerajaan.

Ini kerana katanya, kerajaan mahu suara penduduk di Tenom dan Sabah secara keseluruhannya dibawa ke Parlimen.

Hajiji bersalaman dengan orang ramai pada kempen untuk calon BN Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup di Keningau.

Sehubungan itu beliau berkata, adalah penting untuk rakyat di kawasan ini memilih calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tenom, Jamawi Jaafar, pada hari pengundian PRU15, esok.

“Calon anak muda ini (Jamawi) adalah calon yang sesuai dan perlu diberi peluang untuk menyuarakan hasrat dan harapan rakyat Sabah. Saya memberi keyakinan penuh kepada beliau sebagai calon kerajaan.

“Jamawi adalah calon kerajaan negeri dan saya hanya menyokong calon daripada kerajaan dan bukannya calon lain, bukan calon pembangkang, bukan calon Warisan, bukan calon Pakatan Harapan dan bukan calon bebas,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin bersama Rakyat di Dataran Kemabong, di sini semalam.

Sementara itu, dalam majlis berasingan di Keningau, Hajiji berkata kemenangan calon BN bagi Parlimen Pensiangan adalah kemenangan kerajaan GRS-BN.

“Justeru, sekali lagi saya minta mandat daripada rakyat untuk memilih calon kerajaan negeri bagi Pensiangan ini. Janganlah kita harap kepada Parti Warisan, Harapan, KDM dan Pejuang kerana sandaran kita adalah kepada anak muda ini, Datuk Arthur Joseph Kurup.

“Apa kita harap pada calon lain yang menjadi pembangkang kepada kerajaan negeri dan Persekutuan. Kita jangan salah pilih, terpengaruh dengan dakyah pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri bersama rakyat di DUN Sook di Dewan Kampung Kapakaan Biah, Keningau, di sini malam tadi.

Hajiji berkata apa yang penting adalah kestabilan politik agar lebih banyak pembangunan dapat dibawa kepada rakyat.

-Deasoka

Share

Written by:

1,535 Posts

View All Posts
Follow Me :
error: Content is protected !!