PRU15: DAP Sabah umum 7 calon, 4 muka baharu

PRU15: DAP Sabah umum 7 calon, 4 muka baharu

Kota Kinabalu: DAP Sabah mengumumkan bakal bertanding di tujuh kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Frankie Poon berkata, selain mempertahankan kerusi di Kota Kinabalu, Tenom dan Sandakan, mereka juga akan bertanding di Papar, Batu Sapi, Lahad Datu dan Keningau.

“Calon yang akan bertanding di Kota Kinabalu ialah Ketua Biro Polisi DAP Sabah selaku penyandang Ahli Parlimen KK, Chan Foong Hin; di Tenom ialah Naib Pengerusi DAP Sabah, Noorita Sual dan Vivian Wong Shir Yee di Parlimen Sandakan.

“Manakala, di Batu Sapi, kita menghantar Liau Fui Fui; Oscar Sia Yu Hock di Lahad Datu; Henry Shim Chee On di Papar dan Grelydia Gillod di Keningau,” katanya pada Pelancaran Bilik Gerakan PH-DAP Kota Kinabalu, hari ini.

Frankie berkata, pihaknya ingin memastikan sebuah kerajaan progresif, pelbagai dan inklusif di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) dibentuk selepas 19 November depan.

Jelasnya, beliau menyedari betapa pentingnya tempoh menuju ke PRU15 ini dan telah memutuskan untuk menggalas tanggungjawab lebih besar dalam usaha menuntut Putrajaya semula.

“Calon-calon yang dikemukakan DAP adalah muda, pelbagai dan inklusif dengan purata umur mereka dibawah 40 tahun.

“Ini menunjukkan dedikasi kami dalam membangunkan generasi muda sebagai pemimpin,” katanya.

Tambah beliau, ia juga merupakan detik bersejarah melihat kepada barisan calon yang pelbagai, dengan lebih separuh merupakan anak jati Sabah, lebih separuh merupakan calon wanita.

Turut hadir ialah Veteran DAP, Lim Kit Siang; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Phoong Jin Zhe dan ADUN Kepayan, Jannie Lasimbang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|