Lelaki melecur seluruh badan dalam kebakaran stor baja

Lelaki melecur seluruh badan dalam kebakaran stor baja

Lahad Datu: Seorang lelaki warga Indonesia melecur seluruh badan dalam kebakaran membabitkan stor penyimpanan baja di Batu 13, Jalan Jeroco, di sini, hari ini.

Mangsa Nasaruddin Silele, 41, yang melecur dihantar menggunakan ambulans ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.

Stor penyimpanan baja musnah dalam kebakaran di Batu 13, Jalan Jeroco, Lahad Datu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.42 petang.

Katanya, seramai tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.

Kesan kebakaran yang berlaku.

“Kebakaran membabitkan sebuah stor penyimpanan baja yang terbakar sepenuhnya. Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dan satu pancutan sumber air dari tangki jentera.

“Terdapat seorang mangsa cedera melecur di seluruh badan dan dihantar ke hospital oleh ambulans sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi terkawal pada jam 4.40 petang dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

“Pasukan operasi kemudian menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi bahaya lain.

“Operasi tamat sepenuhnya kira-kira jam 5 petang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|