PRU15: Anifah muncul pada kempen PH bersama Anwar

PRU15: Anifah muncul pada kempen PH bersama Anwar

Kota Kinabalu: Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman muncul pada ceramah Pakatan Harapan (PH) yang dihadiri pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Sepanggar, malam ini.

Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu turut berucap dan membuat pendedahan mengenai tawaran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung jawatan Menteri Luar.

Anwar meyampaikan ceramah ketika kempen PH di Sepanggar.

Anifah mendakwa Ahmad Zahid menawarkannya jawatan berkenaan melalui lantikan Senator sebagai ganjaran tidak bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Kimanis.

“Saya diminta di kawasan saya, Kimanis bahawa Presiden UMNO menjanjikan saya supaya jangan tanding dan bantu calon BN dan dia akan bagi saya jawatan Menteri Luar dan lantik Senator.

“Itu bukan yang saya kehendaki. Apa yang saya kehendaki ialah lunaskan apa-apa yang termaktub dalam perlembagaan dan MA63, itu perjuangan saya,” katanya.

Katanya, beliau sentiasa meminta agar MA63 dan tuntutan 40 peratus hasil Sabah ditunaikan sepanjang berada dalam kerajaan sebelum ini kerana merasakan pentingnya perkara itu direalisasikan.

Bekas Ahli Parlimen Kimanis itu berkata, pengembalian hasil 40 peratus kepada Sabah mampu memberi banyak peluang kepada rakyat negeri ini termasuk pekerjaan dan pembukaan industri kecil kepada belia.

Sementara itu, beliau menjelaskan mahu mengikut Anwar dan membantu calon Pakatan Harapan (PH) bagi memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Katanya, rakyat memerlukan seorang pemimpin yang boleh menangani kemelesetan ekonomi negara dan ia boleh dilaksanakan Anwar selaku bekas Menteri Kewangan terbaik di Asia.

“Beliau seorang pemimpin yang betul-betul berjiwa rakyat, jadi berilah peluang untuk Anwar sebagai Perdana Menteri,” katanya.

-Deasoka

Share

Written by:

1,514 Posts

View All Posts
Follow Me :
error: Content is protected !!