PRU15: Ambil tindakan terhadap ahli ‘melawan’ parti

PRU15: Ambil tindakan terhadap ahli ‘melawan’ parti

Tuaran: UMNO Tuaran diminta mengambil tindakan ke atas ahlinya, Noortaip Suhaili @ Sualee yang bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Tuaran pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau telah bercakap dengan Ketua UMNO Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Timbalannya, Datuk Jasnih Daya mengenai perkara itu.

Hajiji menerima permohonan menyertai GRS daripada Abdullah Sani yang juga bekas lawannya di DUN Sulaman pada PRU 2018.

Katanya, begitu juga di kawasan lain, tindakan mesti diambil terhadap mana-mana ahli parti yang melawan keinginan parti.

“Kita harus mengambil tindakan tegas kerana kita tidak mahu orang ramai keliru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi bertemu rakyat di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah di Kampung Lok Batik, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai yang juga calon GRS di Tuaran; Timbalan Ketua BERSATU Tuaran, Datuk Kassim Razali dan Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Edward Linggu.

Dalam majlis yang sama, Hajiji telah menerima borang permohonan keahlian daripada 1,500 bekas ahli Warisan diketuai oleh Abdullah Sani, yang juga bekas calon Warisan untuk kerusi DUN Sulaman pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|