PRU15: Ambil tindakan tegas pemimpin kerajaan kempen calon lain

PRU15: Ambil tindakan tegas pemimpin kerajaan kempen calon lain

Beluran: Barisan Nasional (BN) Sabah mahu pemimpin dalam kerajaan negeri yang didapati membantu calon lain pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diambil tindakan tegas.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata tindakan membantu calon selain daripada BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) jelas bertentangan dengan perjanjian dimeterai kedua-dua gabungan itu.

Katanya, perkara berkenaan juga boleh dianggap sebagai mensabotaj parti kerana BN dan GRS sudah membuat persefahaman untuk bekerjasama pada PRU15 ini.

“Yang melanggar (perjanjian) itu apabila ada pemimpin daripada GRS sendiri yang berkempen untuk calon ini (PN Beluran) dan ini sudah tentu akan memberi gambaran tidak baik kepada hubungan BN dan GRS.

“Saya telah menyuarakan dan saya meminta Ketua Menteri selaku Pengerusi GRS supaya mengambil tindakan sewajarnya kepada mana-mana pemimpin termasuk yang berhormat daripada GRS yang mensabotaj kemenangan calon-calon BN yang kita telah persetujui bersama.

“Mesti diambil tindakan, kalau tidak diambil tindakan sudah tentu hubungan BN dan GRS mungkin akan tidak semurni sudah,” katanya pada sidang media sempena program mesra bersama rakyat, di sini, hari ini.

Bung Moktar berkata jika hal itu dibiarkan, persefahaman BN dan GRS akan terus tercemar dan pengikut serta pemimpin akar umbi tidak lagi menghormati pemimpin atasan.

Sebelum ini, terdapat laporan mengatakan pemimpin GRS dalam Kabinet kerajaan Sabah membantu calon lain berkempen pada PRU15.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|