PRU15: Abdul Rahman layak jadi calon TPM – Musa Aman

PRU15: Abdul Rahman layak jadi calon TPM – Musa Aman

Kota Belud: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Kota Belud (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan disifatkan berkelayakan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari Sabah.

Pendapat itu dizahirkan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman ketika berkempen untuk Abdul Rahman, di sini, semalam.

Musa berkata Abdul Rahman memiliki kriteria yang diperlukan untuk menjawat jawatan nombor dua kerajaan Pusat itu.

Beliau merujuk kepada hasrat kepemimpinan BN mengenai pelantikan TPM dari Sabah jika BN sekali lagi menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) seperti disebut sebelum ini.

“Saya percaya dia (Abdul Rahman) memenuhi kriteria untuk memegang jawatan yang sangat signifikan dalam kerajaan persekutuan itu dan individu paling tepat mewakili suara rakyat Sabah,” katanya.

Katanya, Abdul Rahman yang pernah menjadi Ahli Parlimen Kota Belud selama dua penggal adalah seorang pemimpin yang berpengalaman berikutan pernah menjadi Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar, selain Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancangan Ekonomi).

Beliau berkata, Abdul Rahman berjaya membawa pelbagai pembangunan kerajaan Pusat di Kota Belud sepanjang menjadi menteri sebelum ini termasuk pembinaan 900 unit program perumahan rakyat di Kampung Ulu Pirasan, menaik taraf Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Belud serta membina Dataran Kota Belud dan Bazaar Rakyat.

Jelasnya, Abdul Rahman juga memainkan peranan penting dalam pelan pembangunan sebuah politeknik di daerah ini sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan pembangunan fasa pertama berjumlah RM50 juta diluluskan baru-baru ini.

“Beliau juga adalah individu di sebalik pembangunan 150 unit lot kedai di pekan baharu Tempasuk yang dijangka dilancarkan pada Sabtu ini,” katanya.

Musa berkata, walaupun tidak menjadi Ahli Parlimen Kota Belud selepas PRU14, jiwa Abdul Rahman sentiasa bersama rakyat di daerah ini, malah masih bekerja dan berusaha membawa lebih banyak pembangunan sosio ekonomi di kawasan ini.

Katanya, Abdul Rahman bukan saja seorang pengikut parti yang setia, malah patuh kepada keputusan kepemimpinan termasuk bersetuju bertanding di kerusi Parlimen Sepanggar pada PRU14 walaupun ia bukan pilihan pertamanya.

“Kita semua tahu ia adalah hari yang sedih kepada beliau (Abdul Rahman) tetapi tetap menerima keputusan dan memberi laluan kepada Datuk Seri Salleh Said Keruak untuk bertanding di Kota Belud.

“Malangnya, kedua-dua mereka (Abdul Rahman dan Salleh) kalah di Sepanggar dan Kota Belud,” katanya.

Musa turut menyifatkan Abdul Rahman sebagai seorang yang kuat bekerja dengan visi dan pandai merancang serta melaksanakan strategi projek pembangunan untuk rakyat.

Selain itu, katanya Abdul Rahman juga bukan asing di Kota Belud memandangkan kedua-dua ibu bapanya berasal dari daerah ini.

Sehubungan itu, Musa menggesa agar ahli dan penyokong BN serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bekerjasama memastikan kejayaan Abdul Rahman pada 19 November ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|