PRU15: 8 iltizam fokus Yakub untuk Sepanggar jika diberi mandat

PRU15: 8 iltizam fokus Yakub untuk Sepanggar jika diberi mandat

Sepanggar: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sepanggar, Datuk Yakub Khan menggariskan lapan teras yang akan diberikan tumpuan sekiranya mendapat mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, ia termasuk aspek ekonomi, jaringan sosial, pendidikan, kelestarian alam, kebajikan, kemudahan awam, pembangunan belia dan perkampungan.

Keadaan di sekitar Majlis Pelancaran ‘Iltizam Sepanggar’.

“Saya melihat kepada suasana Parlimen Sepanggar ini, ianya meliputi kawasan bandar, pinggir bandar, luar bandar dan ia juga diisi dengan hab industri serta hab pendidikan.

“Keistimewaan Sepanggar, di mana kita ada segala-gala anugerah Allah di sini seperti pantai, bukit, laut, sungai, air terjun, bukit yang cantik dan pelbagai lagi.

“Saya lahirkan idea dan iltizam ini untuk membawa Sepanggar ke suatu tahap yang saya yakini boleh kita capai sekiranya kerajaan BN diberi mandat menjadi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran ‘Iltizam Sepanggar’ di Dataran Kampung Darau Laut, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Yakub turut menyeru kepada para pengundi untuk merancang sebaiknya masa mereka untuk keluar menunaikan tanggungjawab pada Sabtu ini.

“Saya menyeru kepada pengundi, khususnya anak-anak muda di Parlimen Sepanggar ini, berilah peluang kepada saya, berilah peluang kepada BN. InsyaAllah iltizam dan impian kita akan dapat dilaksanakan.

“Pada 19 November ini, jangan tunggu sampai waktu petang, kerana diramalkan akan berlaku hujan pada hari tersebut, jadi keluarlah mengundi beramai-ramai pada waktu pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|