PRU15: 71 peratus pelajar UMS balik mengundi

PRU15: 71 peratus pelajar UMS balik mengundi

Kota Kinabalu: Seramai 71.1 peratus pelajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyatakan hasrat untuk balik mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Berdasarkan dapatan survei yang telah dijalankan oleh penyelidik UMS, Prof. Dr. Murnizam Halik dan Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bahari, daripada 1,330 responden yang mengikuti survei itu, seramai 687 daripada 957 responden wanita menjawab ‘ya’ yang mewakili 71.7 peratus.

Manakala, katanya, seramai 259 responden daripada 373 orang menjawab ‘ya’ iaitu mewakili 69.4 peratus bagi pelajar lelaki.

“Lima sebab utama mengapa pelajar tertarik untuk mengundi ialah pertama, mereka menganggap bahawa ini merupakan satu tanggungjawab dan hak mereka sebagai pengundi.

“Faktor kedua, dengan mengundi, maka mereka dapat memilih calon yang sesuai, bertanggungjawab dan berwibawa dalam memajukan kawasan mereka.

“Faktor ketiga ialah mereka ingin merasai suasana pilihan raya terutama bagi yang pertama kali terlibat dalam pengundian di kawasan masing-masing.

“Sementara, faktor keempat ialah pelajar sebagai golongan belia merasakan bahawa mereka juga sedar akan kepentingan mereka untuk menentukan masa depan negara dan akhir sekali, mengundi membolehkan mereka berpeluang untuk sama-sama memilih kerajaan yang mereka rasa sesuai untuk mentadbir negara,” kata Murnizam.

Tambahnya, dari segi statistik dan kemungkinan terdapat peningkatan peratus penduduk yang mengundi, beliau menyatakan bahawa ianya bergantung kepada jumlah pengundi baru yang terdiri daripada belia yang mendaftar di kawasan tersebut.

“Sekiranya terdapat penambahan pengundi baru yang melebihi 50 peratus di sesuatu kawasan dan rata-ratanya dalam kalangan belia, maka peningkatan peratusan pengundian adalah tinggi.

“Berdasarkan pendapat daripada 1,330 pelajar dari populasi seramai 14,000 orang pelajar UMS, aras keyakinan ialah 95 peratus manakala ‘margin of error’ ialah sebanyak tiga peratus,

“Bermaksud sekitar 68 hingga 74 peratus pelajar akan turun membuang undi sekiranya tidak ada perkara lain yang menghalang mereka daripada mengundi seperti contohnya, banjir atau faktor kesihatan,” katanya.

Murnizam turut menjelaskan bahawa PRU 15 merupakan satu pemangkin kepada penglibatan belia dalam isu politik semasa di Malaysia.

“Tidak hairan pada suatu masa yang terdekat, mereka akan lebih peka dan lebih vokal kepada isu politik semasa.

“Selain itu, belia juga merupakan antara pengguna media sosial yang paling aktif dan mereka mempunyai kuasa yang signifikan bagi memastikan segala manifesto dan janji yang dikeluarkan oleh parti politik dan wakil rakyat yang dipilih, akan ditunaikan,” katanya lagi.

Sementara itu, Muhammad Idris berkata, walaupun niat untuk mengundi dalam kalangan belia adalah tinggi, namun terdapat beberapa faktor yang menyebabkan mereka tidak dapat pulang untuk mengundi di kawasan masing-masing.

“Antaranya ialah isu berkenaan kekangan dari segi kewangan kerana kos pengangkutan balik mengundi sangat tinggi seperti harga tiket penerbangan yang mahal.

“Mereka juga tidak tahu dan sukar untuk memilih calon dan masih tidak dapat mengenal pasti parti pilihan yang tepat dan sesuai untuk memimpin negara.

“Bagi mereka, tidak ada calon yang menarik dan memberi keyakinan kepada mereka untuk menerajui negara,” katanya.

Tambah Idris yang juga Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FPP UMS, terdapat pelajar yang menyatakan bahawa tempat mengundi agak jauh dari tempat belajar.

“Meskipun negara telah memasuki fasa peralihan ke endemik bermula 1 April 2022, namun mereka masih berasa bimbang mengenai risiko dan penularan jangkitan COVID-19 semasa PRU-15 nanti,” katanya.

Mereka turut berpendapat bahawa walaupun Undi 18 pertama kali dijalankan, tahap kesedaran, minat dan kematangan yang ditunjukkan oleh belia terutama di UMS adalah satu perkembangan yang baik dan membuktikan keputusan untuk membenarkan Undi 18 sebagai pendekatan yang tepat.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), setakat 9 Oktober lepas, seramai 1,393,549 pengundi berdaftar berumur 18 hingga 20 tahun dan 4,614,429 pengundi dalam lingkungan umur 21 hingga 29 tahun akan mengundi pada PRU15.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|