PRU15: BN wadah tepat realisasikan perjuangan MA63 – Shahelmey

PRU15: BN wadah tepat realisasikan perjuangan MA63 – Shahelmey

Putatan: Barisan Nasional (BN) merupakan wadah tepat dalam merealisasikan segala hasrat rakyat Sabah, seperti yang diperjuangkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Calon BN Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, beliau optimis BN mempunyai keupayaan bagi mencapai apa juga yang diperjuangkan dalam MA63, termasuklah pertumbuhan ekonomi dan jurang pembangunan.

Sesi Zoom Kenali calon new-gen BN bersama KJ yang dikendalikan oleh Calon BN Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar

“Kita perlu pacu pertumbuhan ekonomi negeri Sabah agar ia menjadi satu rasa kepuasan hati rakyat Sabah bersama rakyat-rakyat lain di Malaysia

“Ini akan dapat mengukuhkan lagi perpaduan negara, saya pasti BN boleh merealisasikan apa juga hasrat rakyat Sabah seperti yang diperjuangkan dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sesi siaran langsung Zoom Kenali calon new-gen BN bersama KJ yang dikendalikan oleh Calon BN Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang disiarkan di laman Facebook rasminya, hari ini.

Selain Khairy Jamaluddin, antara personaliti calon parlimen yang diketengahkan dalam sesi itu adalah Ketua Penerangan BN Pusat, Shahril Hamdan yang bertanding di Parlimen Alor Gajah, Datuk Rozabil Abd Rahman (Arau), Datuk C Sivaraj (Serai), Datuk Chong Sin Woon (Raub), Datuk Mohana Muniandy (Kuala Langat) dan Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin (Merbok).

Mengulas lanjut, Shahelmey berkata, menyuarakan pertumbuhan ekonomi dan jurang perbezaan di negeri Sabah dan Semenanjung menjadi antara aspirasi utama beliau sekiranya diberi mandat sebagai rakyat sebagai Ahli Parlimen Putatan nanti.

“Adalah menjadi harapan saya apabila diberi mandat nanti selaku Ahli Parlimen Putatan, juga mewakili negeri Sabah adalah untuk menyuarakan pertumbuhan ekonomi dan jurang perbezaan di negeri Sabah dan semenanjung Malaysia.

“Ini adalah kerana ia menjadi dekat di hati rakyat Sabah,” katanya.

Kerusi Parlimen Putatan pada PRU15 ini menyaksikan Shahelmey berdepan saingan empat penjuru menentang penyandangnya, Awang Husaini Sahari (PH-PKR), Ahmad Mohd Said (WARISAN) dan Poyne B Tudus @ Patrick Payne (PEJUANG).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|