PRU-15: WARISAN sasar tawan 14 kerusi

PRU-15: WARISAN sasar tawan 14 kerusi

Kota Kinabalu: Parti Warisan (WARISAN) menyasarkan untuk memenangi 14 daripada 25 kerusi Parlimen yang dianggap kritikal dan strategik di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Kerusi terbabit termasuk tujuh yang disandangnya ketika ini, satu kerusi kosong (Batu Sapi) dan satu kerusi bertukar parti (Lahad Datu) serta lima kerusi lain yang dianggapnya kritikal.

Naib Presidennya, Terence Siambun, berkata lima kerusi Parlimen terbabit ialah Kimanis, Sandakan, Keningau, Sipitang dan Kudat yang ketika ini disandang UMNO Barisan Nasional (BN), DAP, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Beliau berkata kelima-lima kerusi Parlimen terbabit mesti dimenangi WARISAN bukan kerana komposisi etnik atau agama pengundinya tetapi kerana signifikannya dari segi sejarah, maruah dan sosio ekonomi Sabah.

“Parlimen Kimanis penting kerana gas asli Sabah disalur keluar dan dinikmati oleh orang lain, manakala Sipitang kerana Sabah Forest Industries (SFI) yang menjadi kebanggaan Sabah dalam industri kayu balak diranapkan ketika pentadbiran UMNO.

“Parlimen Sandakan pula kritikal kerana daerah ini ialah pusat perdagangan antarabangsa Sabah terawal dan telah membantu membuka negeri ini kepada dunia luar seperti Hong Kong dan China,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, WARISAN juga perlu memenangi kerusi Parlimen Keningau kerana daerah Tambunan yang berada dalam kawasan itu ialah tempat di mana orang Bajau, Suluk dan Dusun bersepakat di bawah perjuangan Mat Salleh pada 1900 untuk menentang sistem pencukaian (penjajah) yang tidak adil.

Kerusi Parlimen Kudat pula katanya penting kerana ia menjadi pusat perdagangan dan perniagaan masa hadapan di Sabah.

“Lima kawasan yang saya sebutkan di atas mempunyai kepentingan strategik yang sebenarnya membentuk identiti Sabah dari segi keupayaan, keberanian dan martabat.

“Ini tidak akan difahami oleh pemimpin-pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menggunakan pendekatan ‘politik lalang’ dan menuruti sahaja mana-mana gabungan berkuasa di Putrajaya pada masa ini,” katanya.

Sementara itu, katanya tujuh kerusi Parlimen yang akan dipertahankan WARISAN pada PRU-15 ialah Semporna, Penampang, Kota Belud, Sepanggar, Papar, Kalabakan dan Labuan.

Terence berkata, WARISAN juga akan memastikan untuk merampas semula kerusi Parlimen Lahad Datu yang kini diwakili Parti Bangsa Malaysia (PBM) selepas penyandangnya, Datuk Mohamaddin Ketapi keluar WARISAN pada tahun lalu sebelum menyertai BERSATU dan kemudiannya PBM.

Katanya, WARISAN juga mahu memastikan kemenangan di kerusi Parlimen Batu Sapi yang ketika ini kosong berikutan kematian penyandangnya pada 2020, mendiang Datuk Liew Vui Keong yang memenangi kerusi itu atas tiket WARISAN ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Bagaimanapun, Terence berkata tumpuan di semua 14 kerusi terbabit tidak bermakna bahawa WARISAN tidak menganggap baki 11 lagi kerusi Parlimen di Sabah termasuk Putatan, Ranau dan Libaran tidak penting.

“Kita akan pastikan jentera pilihan raya kita di semua kawasan Parlimen berada dalam keadaan terbaik,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|