Musim tengkujuh: Kerajaan negeri siap sedia hadapi banjir

Musim tengkujuh: Kerajaan negeri siap sedia hadapi banjir

Kota Kinabalu: Persiapan awal telah dibuat bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir sepanjang tempoh musim tengkujuh di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Shahelmey Yahya berkata, ia melibatkan kelengkapan peralatan-peralatan serta bekalan makanan.

“Kita melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri dan daerah telah bersedia untuk menghadapi bencana yang mungkin timbul disebabkan oleh fenomena Monsun Timur Laut yang sedang berlaku dan dijangkakan berakhir pada Mac 2023.

“Dari sudut kebajikan, kita telah bersedia dengan peralatan-peralatan dan juga bekalan makanan yang diperlukan sekiranya berlaku bencana banjir dan mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Buku ‘Pandemik Covid-19: Impak dan Norma Baharu di Sabah’ Terbitan Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Dalam pada itu, Shahelmey berkata, Depoh Jabatan Kebajikan Masyarakat yang terletak di Sembulan telah disiapkan dengan keperluan yang perlu dikerahkan sekiranya berlaku banjir.

“Manakala, ada bekalan makanan dan peralatan-peralatan yang telah dihantar ke daerah-daerah yang memang berisiko untuk dilanda banjir sekiranya berlaku hujan lebat berterusan,” tambah beliau.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|