Kes gangguan seksual Ebit Lew: Laporan polis terhadap tertuduh dibuat di Bukit Aman – saksi

Kes gangguan seksual Ebit Lew: Laporan polis terhadap tertuduh dibuat di Bukit Aman – saksi

Tenom: Saksi pendakwaan pertama bagi kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal Ebit Lew memberitahu mahkamah bahawa laporan polis kes itu dilakukan di Bukit Aman.

Mohd Fairuz Abu, 37, memberitahu perkara itu kepada mahkamah ketika pemeriksaan balas pada prosiding perbicaraan Ebit Lew, 37, atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim, petang tadi.

“Saya tahu kerana wanita itu memberitahu saya Tenom ini kecil dan ramai orang boleh tahu bila beliau buat laporan polis. Laporan di Bukit Aman bertujuan untuk keselamatan beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemeriksaan balas peguam Kamarudin Mohmad Chinki yang mewakili Ebit Lew.

Kamarudin turut bertanya adakah ia bermaksud semua balai polis di Sabah kecil dan semua orang boleh tahu termasuk Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan, Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, Mohd Fairuz tidak bersetuju dengan peguam berkenaan dan memberitahu mahkamah bahawa itu adalah permintaan wanita terbabit.

“Lagipun beliau mengatakan balai polis Tenom ada saudaranya jadi beliau takut untuk melaporkan di sana,” katanya.

Beliau juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia tidak pasti apabila ditanya sama ada semua balai polis di Sabah mempunyai keluarga wanita itu.

Sementara itu, Ebit ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah berkata, dia sudah lama menunggu perbicaraan itu berlangsung.

“Saya rasa bersyukur, gembira walau berat ujian ini sebab saya macam tak sabar sebab sudah setahun saya tunggu, kalau boleh tahun lepas lagi saya nak selesaikan.

“Sebab saya bergerak ke mana-mana, itulah pandangan orang, sebutan orang jadi saya dah diuar-uarkan tak baik merata-rata, gambar yang tak baik, entah siapa-siapakan. Jadi saya tak sabar,” katanya.

Perbicaraan kes pendakwah berkenaan ditangguhkan pada jam 4.30 petang tadi dan akan disambung semula pada jam 9.30 pagi esok.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida Zakaria, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia.

Ebit pula diwakili barisan peguamnya yang terdiri daripada Ram Singh, Kamarudin, Timothy Daut, Kimberly Ye Wanchuin dan Chen Wen Jye manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|