Dua ditahan bersama rokok seludup bernilai RM323,000

Dua ditahan bersama rokok seludup bernilai RM323,000

Lahad Datu: Pasukan polis Unit Task Force Batalion 17, berjaya merampas rokok seludup bernilai RM323,000 dalam operasi di Jalan Jeroco, di sini, kelmarin.

Dalam operasi 7.15 pagi itu, polis turut berjaya menahan dua lelaki yang membawa semua rokok seludup berkenaan menaiki sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso.

Azmir ketika sidang media susulan kejayan rampasan rokok seludup bernilai RM323,000 di Jalan Jeroco, Lahad Datu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Azmir Abdul Razak berkata, keduaa-dua individu yang ditahan berusia 41 tahun membabitkan pemandu dan kelindan lori.

Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap lori berkenaan berjaya menemui rokok pelbagai jenama yang disyaki rokok seludup dan tidak mempunyai cukai kastam.

“Antara rokok seludup yang dirampas adalah jenama Magnum, Nice Bold, Nice Gold, A Satu Mile dan Che 9.

“Jumlah keseluruhan rokok yang dirampas pula adalah sebanyak 1,823,600 batang,” katanya pada sidang media yang diadakan, di sini, hari ini.

Azmir berkata, nilai keseluruhan rampasan adalah dianggarkan bernilai RM323,000 termasuk kenderaan lori berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati, rokok seludup berkenaan dibawa daripada kawasan Batu 3, Tawau dan akan dihantar ke Sandakan untuk pasaran di daerah berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(E) Akta Kastam 1967 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai harga barang atau RM100,000 yang mana jumlah lebih tinggi.

“Pesalah turut boleh didenda tidak lebih 20 kali ganda nilai harga barang atau RM500,000 yang mana jumlah lebih tinggi atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|