Buku ‘Pandemik Covid-19: Impak dan Norma Baharu di Sabah’ dokumentasi pengalaman tangani Covid-19

Buku ‘Pandemik Covid-19: Impak dan Norma Baharu di Sabah’ dokumentasi pengalaman tangani Covid-19

Kota Kinabalu: Buku ‘Pandemik Covid-19: Impak dan Norma Baharu di Sabah’ yang dilancarkan hari ini, mendokumentasikan usaha dilaksanakan di negeri ini dalam menangani pandemik Covid-19.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Shahelmey Yahya berkata, ia mampu dijadikan panduan dan rujukan akademik pada masa hadapan.

“Apabila pandemik Covid-19 melanda negara dan seluruh dunia, kita tercari-cari bagaimana untuk berdepan dan menangani permasalahan yang timbul.

“Justeru, buku ini mampu dijadikan sebagai rekod dan rujukan kepada para pelajar, penyelidik, pembuat dasar dan mereka yang berminat melakukan kerja-kerja sosial ataupun kemasyarakatan berkaitan dengan suasana pandemik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Buku ‘Pandemik Covid-19: Impak dan Norma Baharu di Sabah’ Terbitan MPMS, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Shahelmey berkata, penerbitan buku itu tepat pada masanya sesuai dengan situasi di mana negara sedang dalam fasa peralihan ke endemik.

“Ianya menjadi satu sumber rujukan kepada kita sekarang dan kepada generasi yang akan datang, agar mereka dapat membuat persediaan sekiranya sekali lagi berlaku pandemik seperti kita telah lalui.

“Saya mengalu-alukan kepada masyarakat, terutama mereka yang berminat dalam kerja-kerja sosial atau kemasyarakatan dan kebajikan untuk membeli buku ini.

“Sudah pasti ilmu pengetahuan dan maklumat yang dikongsikan dalam buku ini tinggi nilainya dan amat berguna sekali,” katanya.

Beliau turut merakamkan setinggi penghargaan kepada MPMS dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah yang telah bertungkus-lumus untuk menyiapkan buku itu.

Buku berkenaan mengandungi 14 bab berkaitan dengan dasar sosial dan isu-isu semasa seperti kebajikan sosial dan kesihatan yang ditulis 32 penulis mengikut latar kepakaran masing-masing dalam Bahasa Malaysia atau Inggeris.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|