Malaysia Borneo Football Cup B-11: MMT Junior juara!

Malaysia Borneo Football Cup B-11: MMT Junior juara!

Penampang: Pasukan Media Mix Team (MMT) Junior muncul juara kejohanan Malaysia Borneo Football Cup B-11 selepas mereka menewaskan FC Setia Alam 1-0 dalam aksi final di Stadium Penampang, di sini, petang tadi.

Pasukan yang majoritinya dibarisi pemain dari pedalaman Sabah itu menunjukkan ‘taring’ mereka di kejohanan berkenaan apabila bukan saja tidak pernah tewas, malah memenangi kesemua perlawanan yang diharungi.

Di peringkat kumpulan, MMT Junior menang 5-1 ke atas Tabs, SK Likas FC (5-0) dan Akademi Tunas Labuan (4-2).

Kecemerlangan mereka juga diteruskan di peringkat separuh akhir apabila menang bergaya 5-0 ke atas ‘rakan’ mereka Akademi Bola Sepak Tuubagu seterusnya melengkapkan kejohanan dengan menewaskan FC Setia Alam di final.

Sementara itu, penampilan kali pertama Akademi Bola Sepak Tuubagu juga boleh dibanggakan apabila muncul pemenang tempat ketiga selepas menundukkan Tabs KK 2-1 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.

SK Likas FC pula muncul pemenang tempat kelima selepas menewaskan Akademi Labuan (tempat keenam) 2-0 manakala tempat ketujuh dan kelapan masing-masing diduduki Pekan FC dan Sandakan Excellent FC selepas keputusan berpihak kepada Pekan FC dengan kedudukan 3-0.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|