PRU-15: UPKO Kota Marudu tuntut kerusi Parlimen P168

PRU-15: UPKO Kota Marudu tuntut kerusi Parlimen P168

Kota Marudu: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Marudu menggesa jawatankuasa rundingan agihan kerusi Parlimen Pakatan Harapan (PH) supaya memberikan keutamaan kepada calon parti berkenaan.

Jawatankuasa Bahagian percaya, berdasarkan kekuatan dan sokongan kuat parti berkenaan, mereka mampu menggalas tanggungjawab dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini.

Jamius Bisara.

Setiausaha Bahagian UPKO Kota Marudu, Jamius Bisara berkata, selaku parti tempatan mereka lebih layak bertanding di kawasan berkenaan yang mana 85 peratus penduduknya dalam kalangan Masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR).

Katanya, pihak jawatankuasa berkenaan juga perlu melihat dari pelbagai sudut terutama dari aspek kekuatan dan sokongan padu kepada parti.

“Agihan kerusi ini haruslah berpaksikan kepada semangat kekeluargaan dengan agihan sekata antara komponen PH.

“Saya amat yakin, UPKO mempunyai sokongan padu terutama daripada pengundi muda. Oleh demikian, kami menuntut agar calon Parlimen pada PRU kali diberikan kepada UPKO,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Jamius berkata, ketika ini, UPKO Kota Marudu mempunyai kira-kira 10,500 ahli membabitkan 168 cawangan di kawasan Parlimen berkenaan.

Malah katanya, UPKO juga sudah lama bertapak di kawasan Parlimen berkenaan sejak dikenali sebagai Parti Demokratik Sabah (PDS) pada era tahun 90-an.

“Suara akar umbi di Parlimen ini turut mengharapkan UPKO dibenarkan bertanding. Strategi kempen akan pasti dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan selaras dengan sentimen parti tempatan

“Fakta bahawa ahli-ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) akan beralih sokongan kepada calon UPKO pula adalah disebabkan kegagalan serta isu yang terkait dengan presiden parti berkenaan.

“Beliau sekali lagi mahu bertanding pada PRU kali ini walaupun amat jelas banyak kegagalan beliau sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kota Marudu,” katanya.

Jamius berkata, harus diingat, UPKO juga memainkan peranan besar dalam memastikan kemenangan calon PBS pada PRU-14 yang lalu.

Menurutnya, UPKO lebih ditakuti oleh parti lawan dan peluang itu harus digunakan sebaiknya untuk merampas kerusi Parlimen Kota Marudu.

“Secara khususnya, UPKO Kota Marudu sudah bersedia untuk ‘berperang’ dalam PRU kali ini termasuk kemampuan dana diperlukan,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|