PRU-15: UMS beri pelepasan khas kepada pelajar pulang mengundi

PRU-15: UMS beri pelepasan khas kepada pelajar pulang mengundi

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedia memberi pelepasan khas kepada pelajarnya untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malah Naib Canselor, Prof Datuk Kasim Mansor berkata, UMS menggalakkan semua pelajar untuk menunaikan tanggungjawab sebagai warga negara sekali gus membolehkan kadar pengundian meningkat.

“Bagaimanapun, masih belum ada perbincangan berkaitan kemudahan pengangkutan dan logistik pada ketika ini yang mana sudah pasti melibatkan kos yang tinggi hingga mencecah jutaan ringgit.

“Apa yang pasti kita bersedia memberi ruang atau cuti kepada mereka untuk balik mengundi di kawasan masing-masing,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr Rasid Mail; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Dr Raman Noordin; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Ir Dr Rosalam Sarbatly dan Pendaftar, Luqman Ridha Anwar.

Menurut Kasim, UMS juga sentiasa bersedia memberi pandangan yang bersifat akademik melalui pakar-pakar yang sedia ada berhubung situasi semasa menjelang PRU15.

“Sebagai institusi pengajian tinggi, kita memberi pandangan berdasarkan analisis ilmiah dan berprinsip tanpa menyebelahi mana-mana pihak,” katanya.

Pada kunjungan itu, Kasim memaklumkan Tun Juhar mengenai pendaftaran pelajar baharu selain menjemput Tun Juhar hadir ke Majlis Anugerah Penyelidik UMS pada Khamis depan dan Majlis Konvokesyen Kali Ke-24 pada 10 – 12 Disember 2022.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|