PBS arah bahagian parti teliti daftar pemilih

PBS arah bahagian parti teliti daftar pemilih

Kota Kinabalu: Parti Bersatu Sabah (PBS) mengarahkan bahagian parti itu mengambil inisiatif meneliti daftar pemilih secara menyeluruh dan memastikan identiti pengundi baharu.

Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai mencadangkan perkara itu susulan kebimbangan mengenai kemungkinan adanya pengundi tidak sah yang muncul melalui pendaftaran automatik.

“Bahagian-bahagian parti perlu pergi lebih jauh meneliti secara proaktif daftar pemilih untuk nama-nama yang mungkin asing bagi mereka.

“Kumpul dan laporkan penemuan ini kepada ibu pejabat parti supaya kita mempunyai asas untuk meneruskan tindakan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, kajian terhadap statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendedahkan peningkatan 574,120 pengundi baharu di Sabah, berbanding pilihan raya empat tahun lalu dengan 1,064,686 orang layak mengundi.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa peningkatan itu bukan disebabkan Undi18, tetapi berlaku di antara 2018 dan 2020.

Joniston berkata, peningkatan mengejut melibatkan lebih setengah juta pengundi baharu sejak pilihan raya lalu memerlukan semakan menyeluruh terhadap daftar pemilih.

Katanya, PBS akan meneliti saluran undang-undang bagi menggali data yang berkaitan untuk meneliti peningkatan ketara pengundi berdaftar di negeri ini.

Sebelum ini, Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, walaupun mereka menyokong pendaftaran automatik bagi individu berumur 18 tahun, ia tidak seharusnya dilanjutkan ke Sabah sehingga senarai pemilih sedia ada disemak dan disahkan secara menyeluruh.

Jelasnya, ia kerana terdapat laporan dan aduan mengenai pengundi yang mencurigakan dalam pilihan raya lalu.

Dalam pada itu, Joniston berkata, PBS juga telah berulang kali membuat permohonan kepada SPR bagi mendapatkan jaminan bahawa rekod pilihan raya Sabah adalah bersih dan tidak mempunyai pengundi yang boleh dipersoalkan jika pendaftaran automatik bagi individu berusia 18 tahun diteruskan.

Namun, katanya permintaan itu tidak dilayan sehingga ke hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|