Maut tersepit dalam nahas dua kenderaan

Maut tersepit dalam nahas dua kenderaan

Semporna: Seorang lelaki maut manakala empat cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Bambu Kuning, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 3 petang.

Katanya, seramai tujuh anggota termasuk pegawai bersama jentera serta
Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Isuzu D Max bertembung dengan kenderaan Toyota Avanza dan terdapat lima mangsa dilaporkan terbabit.

“Seorang mangsa lelaki iaitu penumpang Toyota Avanza dilaporkan tersepit di bahagian penumpang berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan rescue tools,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Seorang lagi di kenderaan Toyota Avanza dan tiga mangsa dari Isuzu D Max dikeluarkan dan dihantar oleh orang awam ke hospital sebelum ketibaan jentera bomba.

“Pasukan bomba seterusnya menjalankan pemeriksaan untuk memastikan tiada bahaya di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan jam 4.20 petang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|