
Kota Kinabalu: Kerusi Parlimen Lahad Datu antara empat kerusi yang akan kekal ditandingi Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)
Presidennya, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, keputusan telah dibuat sebelum ini dengan mengekalkan semua kerusi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sedia ada dalam PRU-15.
“Dalam PBM kita sudah buat keputusan terdahulu untuk mengekalkan kerusi Ahli Parlimen dan ADUN yang sedia ada dalam PRU15. Jadi bila Mohamaddin sertai PBM dan ahli parlimen lain (sertai), semua kawasan itu akan bertanding dalam PRU-15.
“Semua kerusi kami sandang, sekarang kami ada Parlimen Ampang, Tebrau, Julau dan Lahad Datu. Ada empat dan ada ahli parlimen lain akan sertai dan tambahan ahli parlimen ini akan jadikan kerusi negeri (DUN) bukan hanya di Selangor dan Perak,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi dan Presiden Parti Kuasa Rakyat (PKR), Kamarazaman Yacob.
Sementara itu, Mohamaddin menegaskan kerusi yang disandangnya itu akan kekal menjadi milik PBM bagi berhadapan dengan pilihan raya akan datang.
“Tentu sekali, kalau saya sudah menyertai PBM bermakna calon itu akan bertanding atas logo PBM. Namun untuk bertanding atau tidak, saya tidak boleh cakap kerana ini bergantung kepada keadaan.
“Kalau hati mahu bertanding tetapi masa itu kurang sihat mungkin tidak tanding, tetapi semuanya bergantung kepada keadaan kita akan lihat apabila sudah sampai masanya,” katanya.
Mohamaddin yang juga ADUN Segama hari ini mengumumkan bahawa beliau menyertai PBM dan dilantik sebagai Ketua PBM Sabah.
-Deasoka