PRU-15: Madius akan tersungkur jika bertanding semula di Tuaran – Hajiji

PRU-15: Madius akan tersungkur jika bertanding semula di Tuaran – Hajiji

Tuaran: Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menasihatkan penyandang kerusi Parlimen Tuaran, Datuk Madius Tangau supaya melupakan hasrat untuk bertanding semula di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Hajiji berkata, jika Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang tidak lama lagi akan mengundur diri daripada jawatannya itu mahu bertanding sekali lagi di kerusi Parlimen Tuaran, beliau pasti tersungkur.

Katanya, Madius tidak mampu memenangi semula kerusi Parlimen Tuaran kerana kemenangannya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018 adalah atas sokongan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman yang diwakili Hajiji.

Malah, katanya Madius juga kalah di tangan calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai ketika bertanding di kerusi DUN Kiulu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020.

“Di Tuaran ini kita tidak tahu sama ada UPKO mahu bertanding lagi atau tidak pasal mantan wakil rakyat kita di sini, dia sudah digugur jadi Presiden UPKO.

“Saya mahu di Tuaran yang dulu sokong beliau jangan undi dia lagi. Dulu DUN Sulaman dan sekarang Pantai Dalit juga yang beri dia kemenangan tapi dia adalah pengkhianat.

“Kita tahu kemenangannya disebabkan kita. Kalau bukan kita lama sudah dia tersungkur di Tuaran.

“Kalau dia mahu pertahan juga saya nasihat supaya janganlah lawan di Tuaran kali ini kerana kalau beliau jadi calon lagi, beliau akan malu dan tersungkur di bumi Tuaran, GRS akan ambil alih Tuaran nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Tahunan Perwakilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tuaran, di sini, hari ini.

Pada PRU-14, Madius bertanding di kerusi Parlimen Tuaran atas tiket Barisan Nasional (BN) dan memenangi kerusi berkenaan atas sokongan pengundi BN di tiga DUN dalam kawasan Parliman berkenaan pada masa itu, iaitu Sulaman, Tamparuli dan Kiulu.

Ketika itu UPKO adalah parti komponen BN tetapi sejurus selesai PRU-14, Madius membawa UPKO keluar daripada gabungan berkenaan menyebabkan BN Sabah hilang kuasa.

UPKO kemudian bekerjasama dengan Parti Warisan (WARISAN) untuk membentuk kerajaan negeri dengan kerjasama Pakatan Harapan (PH) Sabah dan Madius dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik untuk membolehkannya menjawat jawatan Timbalan Ketua Menteri.

Tindakan Madius dan UPKO itu dianggap satu pengkhianatan kepada rakyat Tuaran dan menimbulkan kemarahan pengundi kawasan itu termasuk Hajiji.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|