300 peledak bom ikan dirampas

300 peledak bom ikan dirampas

Kudat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kudat berjaya merampas sebuah bot pam yang dipercayai melakukan aktiviti bom ikan di perairan Kudat, di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, hasil maklumat risikan, pihaknya berjaya mengesan sebuah bot pam dalam keadaan mencurigakan di perairan Pulau Lingkutan, di sini, pada jam 7.55 pagi.

Bot digunakan untuk aktiviti bom ikan dirampas.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia, bot berkenaan terus bergerak laju menuju ke kawasan pesisir pantai.

“Ketika itu, kelihatan dua orang suspek terjun ke laut untuk melarikan diri selepas bot yang dinaiki tersangkut di kawasan cetek.

“Pemeriksaan lanjut terhaap bot berkenaan membawa kepada penemuan 300 peledak atau ‘detonator’ serta 3 gulungan sumbu yang disyaki digunakan untuk aktiviti mengebom ikan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, bot berkenaan terus dirampas dan dibawa ke Jeti Marina Kudat untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat bagi siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM17,000 dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985,” tegasnya.

Sementara itu, Maurice Grenville berkata, usaha mengesan pemilik serta pelaku aktiviti berkenaan sedang dijalankan.

Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes atau sebarang salah laku jenayah di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 untuk tindakan segera.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|