Pihak perlekeh cogan kata SMJ iri hati pencapaian GRS-BN – Hajiji

Pihak perlekeh cogan kata SMJ iri hati pencapaian GRS-BN – Hajiji

Tuaran: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan tindakan pihak yang memperlekeh cogan kata Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya Parti Warisan (WARISAN) sebagai iri hati terhadap pencapaian kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN).

Beliau berkata, WARISAN hanya pandai bercakap dan memperlekeh usaha yang dilaksanakan GRS-BN termasuk mengatakan kerajaan hari ini hanya sibuk memasang cogan kata SMJ di merata tempat.

Kataya, selama dua tahun menerajui kerajaan negeri, GRS-BN mencatat banyak pencapaian dan perkara itu diketahui oleh rakyat negeri ini.

“Banyak pencapaian kita buat dan rakyat tahu kerana itu ramai iri hati cogan kata Sabah Maju Jaya. Mereka sekarang mengatakan cogan kata atau halatuju Sabah Maju Jaya hanya ada dengan lukisan di sana sini.

“Mereka sebenarnya iri hati tapi mereka tidak tahu semasa mereka memerintah tiadapun hala tuju, hanya pandai cakap politik,” katanya pada Persidangan Tahunan Perwakilan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Tuaran, di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, WARISAN pandai bercakap bermacam-macam, namun mendakwa parti itu tiada halatuju sepanjang dua tahun memerintah Sabah sebelum ini.

Katanya, WARISAN hanya berbangga dengan pencapaian memperkenalkan minyak masak ‘Bess’, namun pengeluaran produk berkenaan diakui mengalami kerugian oleh syarikatnya, Benta Wawasan Sdn Bhd.

“Mereka hentam kita kata asyik buat papan tanda SMJ di mana-mana. Pemasangan cogan kata SMJ itu bukan mempunyai peruntukan yang besar..

“Berapa saja itu, malah ada yang buat sukarela, tiada peruntukan daripada kerajaan. Jadi saya anggap mereka iri hati dengan cogan kata SMJ.

“SMJ itu kita ambil daripada cogan kata jata negeri. Saya ambil itu untuk halatuju kita supaya kita dapat perkasakan cogan kata SMJ, kita martabatkan dan tambah nilai SMJ supaya kita sama-sama rakyat Sabah tanam semangat ingin maju dan terlibat memajukan negeri kita,” katanya.

Katanya, tujuan itu jelas dalam usaha untuk membawa kemajuan kepada negeri dan rakyat Sabah.

Hajiji berkata WARISAN juga tidak ubah bercakap tidak serupa bikin kerana bercakap mengenai perjuangan untuk Sabah tetapi pada masa yang sama membuka cawangan di Semenanjung.

Beliau mengingatkan, meskipun karektor dirinya dilihat sebagai seorang pemimpin yang banyak berdiam dan merendah diri, namun akan ada masanya bangkit serta meluahkan apa yang tersimpan selama ini.

“Jangan cabar karektor saya yang banyak berdiam dan merendah diri, tapi apabila sampai masanya, kita akan luahkan juga.

“Kerana itu kita perlu satu hati sokong GRS, ini perjanjian kita. Kita juga bersama dalam pilihan raya ini dengan UMNO Barisan Nasional (BN), ini kesepakatan kita..

“Mungkin ada yang tidak puas hati tapi kita kena terima hakikat ini kerana kerajaan kita ialah GRS-BN. Kita tidak mahu rosakkan kerajaan negeri.

“Dalam politik kita mesti bijaksana dan pandai tolak ansur, mendengar pandangan rakan, kita kena berbesar hati dan berfikiran lebih matang dalam apa juga keputusan,” katanya.

Hajiji berkata, beliau sudah mencuba sedaya upaya untuk menstabilkan politik di Sabah dan atas sebab itu, GRS dan rakan perjuangannya perlu bersatu hati demi kepentingan negeri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|