PRU-15: Hajiji sahkan tidak tanding Parlimen

PRU-15: Hajiji sahkan tidak tanding Parlimen

Tuaran: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata beliau tidak akan bertanding di kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, beliau tidak berminat untuk menjadi calon pada pilihan raya kali ini meskipun ada permintaan agar beliau bertanding di kerusi Parlimen Tuaran.

“Saya tidak berminat,” katanya menjawab pertanyaan pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Tahunan Perwakilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tuaran, di sini, hari ini.

Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah berkata, GRS berkemungkinan besar akan meletakkan calon di Parlimen Tuaran pada PRU-15.

Beliau bagaimanapun berkata, perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut dalam mesyuarat Majlis Tertinggi GRS malam ini sebelum dibawa ke perbincangan bersama Barisan Nasional (BN) selepas itu.

“Secara ‘bisik-bisik’ sebelum ini memang ‘okey’ tapi kita kena secara rasmi nanti. Biarlah rasmi apabila sampai masanya,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai sama ada GRS akan bertembung dengan rakan parti lain yang sebelum ini menyatakan sokongan terhadap gabungan itu, Hajiji berkata perkara itu tidak akan berlaku pada PRU-15 ini.

Katanya, parti terbabit sudah dianggap sebagai rakan bersekutu GRS iaitu satu perjuangan bersama gabungan berkenaan, cuma tidak boleh menentukan atau mengundi dalam GRS.

“Tetapi kita akan sama-sama mereka untuk memastikan GRS ini sebagai satu parti yang kuat dan bagi apa juga peluang sepatutnya sama ada dalam pilihan raya atau apa juga,” katanya.

Antara rakan bersekutu GRS ialah Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Harapan Rakyat Sabah, Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Komponen GRS pula terdiri daripada BERSATU, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|