Sandakan: Barisan Nasional (BN) yakin dapat menawan kerusi Parlimen Batu Sapi, di sini, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Keyakinan itu disuarakan Penyelaras Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Parlimen Batu Sapi, Mohd Fazil Ajak berdasarkan kepercayaan rakyat terhadap BN yang dilihat semakin bertambah sejak kebelakangan ini.
Katahya, ia berikutan wujudnya kerjasama yang erat di antara PBRS sebagai sebuah parti komponen BN bersama rakan komponen yang lain dalam memperkukuhkan lagi kekuatan sedia ada.
Tambahan pula, katanya pendekatan PBRS yang bersederhana sedikit sebanyak menarik minat rakyat untuk terus menyokong BN.
“Kita telah berbincang dengan parti komponen yang lain di Parlimen Batu Sapi ini dengan UMNO Batu Sapi dan MCA Batu Sapi mengenai strategi kita untuk merampas kembali Parlimen Batu Sapi.
“Saya amat yakin dengan munculnya PBRS di Parlimen Batu Sapi ini akan melancarkan gerak kerja kita untuk memenangi hati rakyat,” katanya, di sini.
Mengulas lanjut, Fazil menegaskan bahawa peranan penting PBRS berupaya membantu calon BN dalam mencapai kemenangan.
Beliau berkata, pihaknya juga sama sekali tidak gentar berdepan PRU-15 kerana jentera parti sudah digerakkan dan hanya menunggu pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya.
Dalam pada itu, Ketua Parti MCA Batu Sapi, Datuk Chew Kok Woh juga menyatakan keyakinannya kerjasama kukuh di antara rakan komponen BN akan membantu memenangkan siapa saja calon yang diletakkan pucuk pimpinan BN pada PRU-15.
“MCA Batu Sapi telah bersedia untuk membantu calon-calon BN di kawasan ini dan kita sudah mengenal pasti semua PDM yang memerlukan MCA membantu calon yang dipilih pucuk pimpinan di kawasan Batu Sapi,” katanya.
Bagi, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu Sapi, Amrie Abada, beliau berkata gerak kerja dan jentera pemuda sudah dipersiapkan dan hanya menunggu pembubaran untuk mereka bergerak memastikan kemenangan calon BN.
Katanya, keupayaan Pemuda UMNO sebagai sayap penting parti pada tahap terbaik kerana sebelum ini mereka sudah bergerak awal bagi mendekati akar umbi.
“Kami di peringkat Pemuda UMNO Batu Sapi selama ini memang sudah memulakan gerak kerja terlebih awal dan apabila kami tahu PRU-15 akan berlaku pada bila-bila masa lagi, maka kami memantapkan gerak kerja pemuda.
“Seperti kita tahu gerak kerja briged gempur dan juga menguruskan bahan kempen parti merupakan tugas hakiki pergerakan pemuda tetapi pada PRU-15 pemuda diberikan kepercayaan untuk mengendalikan tugasan pilihan raya yang baharu bagi kami,” katanya.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Beluran, Mohamad Faizal Madlis pula berkata jentera pemuda hanya menunggu untuk digerakkan dan sedia masuk gelanggang apabila sudah bubar.
“Pemuda UMNO Beluran telah melengkapkan jentera pemuda yang diarahkan untuk bekerja dengan persiapan gerak gempur. Insyaallah apabila berlakunya PRU-15 ini pemuda umno Beluran telah bersiap sedia untuk bergerak,” katanya.
-Deasoka