OBMJ Lahad Datu: Tahan 14 PATI, rampas rokok seludup

OBMJ Lahad Datu: Tahan 14 PATI, rampas rokok seludup

Lahad Datu: Seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan dalam dua Operasi Bersepadu Mencegah Jenayah (OBMJ) yang dijalankan di sekitar daerah ini, pada Jumaat dan Ahad lalu.

Operasi yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu itu turut berjaya menahan dua lagi lelaki yang menjalankan aktiviti menjual dan menyeludup masuk rokok tanpa cukai kastam.

PATI yang ditahan dibawa menaiki lori polis untuk pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, operasi dijalankan di beberapa lokasi berasingan sekitar daerah berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan, seramai 14 warga asing ditahan selepas didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Seramai 14 PATI ditahan dalam dua operasi OBMJ di Lahad Datu.

“Semua PATI terbabit ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresem 1959/63. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau sebat tidak lebih enam sebatan.

“Dalam operasi sama, seorang lelaki berusia 56 tahun turut ditahan selepas disyaki menjual rokok tanpa cukai Kastam secara runcit,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Lelaki warga asing ditahan cuba menyeludup rokok menggunakan bot.

Rohan Shah berkata, hasil pemeriksaan lanjut, polis berjaya merampas 1,380 batang rokok putih yang dianggarkan bernilai RM500.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum 10 kali ganda atau RM100,000 yang mana lebih tinggi dan tidak melebihi 20 kali ganda atau RM500,000.

“Pesalah turut boleh dijatuhi hukuman penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sementara itu, Rohan Shah berkata, dalam operasi OBMJ berasingam Ahad lalu, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki berusia 20 tahun yang dipercayai cuba menyeludup rokok menggunakan sebuah bot.

Katanya, suspek yang ditahan di belakang pasar ikan di Jalan Pantai, di sini, itu didapati membawa 38,600 batang rokok seludup.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM17,000 termasuk bot dam enjin sangkut 30 kuasa kuda berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, Rohan Shah berkata, pihaknya akan meneruskan operasi OBMJ berkenaan dari semasa ke semasa.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat disarankan supaya disalurkan ke Bilik
Gerakan, IPD Lahad Datu ditalian 089-881255.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|