Perlu ada ‘One Stop Centre’ bantu percepat permohonan kewarganegaraan

Perlu ada ‘One Stop Centre’ bantu percepat permohonan kewarganegaraan

Kota Kinabalu: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dicadang menubuhkan sebuah pejabat khas atau ‘one stop centre’ untuk menapis dan mempercepatkan proses permohonan taraf kewarganegaraan di negeri ini.

Ketua Bahagian Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Seri Winston Liaw Kit Siong berkata, ia juga dapat membantu lebih ramai individu yang berdepan masalah dengan permohonan mereka.

“Setakat ini sahaja, terdapat 13 individu yang datang ke pejabat saya untuk memohon bantuan, tetapi saya yakin masih ramai pemohon-pemohon yang menunggu keputusan permohonan mereka.

“Jadi kita memohon agar satu pejabat khas ditubuhkan di Kota Kinabalu, agar kita boleh menyelaraskan urusan komunikasi dan dokumen yang diperlukan,” katanya pada sidang media di Pejabat Parti KDM, di sini, hari ini.

Menurut Winston, kebanyakan permohonan itu merujuk kepada permohonan bagi Kewarganegaraan Malaysia di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

“Saya difahamkan masalah ini timbul disebabkan oleh lewat Pendaftaran Perkahwinan selepas anak dilahirkan atau status pasangan bagi pihak perempuan atau ibu adalah bukan warganegara Malaysia.

“Akan tetapi, saya ingin mohon kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memberi pertimbangan dan kelulusan kepada pemohon yang mewarisi keturunan bapa sebagai warganegara Malaysia.

“Saya ingin juga merujuk kepada permohonan bagi Kewarganegaraan Malaysia di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan, yang mana pemohon mempunyai MyPR dan sedang memohon status Kewarganegaraan Malaysia di mana mereka telah berpuluh tahun tinggal di Sabah.

“Ada beberapa orang telah memegang Kad MyPR selama 40 lebih tahun dan usia mereka telahpun mencapai umur 70 lebih tahun tetapi masih lagi tunggu kelulusan,” katanya.

Katanya lagi, dengan penubuhan pejabat khas itu, ia tidak hanya tertumpu kepada kawasan sekitar Kota Kinabalu, tetapi juga bagi seluruh negeri.

“Kebanyakan masa, terdapat pemohon-pemohon yang berasal dari Sandakan, Tawau dan juga kawasan pedalaman.

“Niat kita, dengan adanya pejabat ini, sesiapa sahaja yang mempunyai isu berkaitan permohonan mereka boleh datang kepada kita. Kita tidak boleh ‘luluskan’, tetapi kita boleh bantu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|