JKR sudah minta JPS naik taraf perparitan di laluan Pan Borneo – Bung Moktar

JKR sudah minta JPS naik taraf perparitan di laluan Pan Borneo – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah mengadakan sesi libat urus bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menyelaraskan pelaksanaan perparitan dan mengatasi masalah banjir di lokasi berisiko sepanjang Lebuhraya Pan Borneo, termasuk di Kampung Rugading dan Giling, Tuaran.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya juga sudah menasihati JPS untuk menaik taraf sistem perparitan di kawasan yang berisiko tinggi dinaiki air bagi mengelak banjir di kawasan terbabit.

“Kita sudah buat libat urus dengan JPS lebih awal dan sudah selaraskan pelaksanaan perparitan di Lebuhraya Pan Borneo dengan sistem penyaliran JPS.

“Kita sudah menasihati mereka untuk menaik taraf sistem perparitan di kawasan-kawasan terbabit, antaranya di Kampung Bukau dan Meraba, Beaufort; Kolopis, Penampang; Ketiau, Putatan dan Rugading serta Kanpung Giling di Tuaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Bung Moktar berkata, ada yang tidak dapat dinaik taraf disebabkan banyak sungai dan parit besar berada di luar simpanan jalan Lebuhraya Pan Borneo.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata demikian sebagai maklumbalas terhadap laporan awam mengenai banjir kilat akibat hujan berterusan yang menyebabkan sebahagian laluan Lebuhraya Pan Borneo di Kampung Rugading dan Giling, Tuaran dinaiki air, petang semalam.

Keadaan itu menjejaskan aliran trafik dari arah Tuaran dan Kota Kinabalu berikutan banyak kenderaan tidak dapat melalui kawasan yang dinaiki air hingga menyebabkan kesesakan jalan raya di kedua-dua arah.

Bagi mengatasi masalah itu, JKR mencadangkan agar JPS menaik taraf atau menambah laluan keluar (outlet) air di perparitan Taman Rugading dan Kampung Giling agar aliran air lebih lancar terutama ketika hujan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|