PRU15: Proses pembuangan undi di Sabah lancar

PRU15: Proses pembuangan undi di Sabah lancar

Kota Kinabalu: Seramai 8,361 pegawai dan anggota polis ditugaskan sepanjang proses pembuangan undi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di seluruh Sabah, hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, proses pengundian di negeri ini berjalan lancar walaupun keadaan cuaca mendung serta hujan di beberapa daerah.

Polis Trafik melakukan kawalan lalu lintas dengan bantuan RELA di hadapan pusat mengundi Tadika Tzu Yu di sini.

Katanya, sebanyak 874 lokasi pembuangan undi yang dibuka di Sabah.

“Penggunaan helikopter turut digunakan bagi kaedah penghantaran peti undi ke 87 kawasan terpencil dan tidak dapat dilalui kenderaan lain di negeri ini.

“Dengan operasi dan kerjasama semua pihak, kesemua semua peti undi selamat sampai di semua pusat mengundi,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Idris berkata, sepanjang pemantauan ketika proses pengundian berlangsung, pihaknya mendapati tiada pusat mengundi yang dinaiki banjir.

Dalam pada itu, Idris memaklumkan lima laporan polis diterima dalam tempoh 24 jam lalu.

“Bagi tempoh 26 Oktober sehingga 18 November lalu, 112 laporan polis direkodkan dan kita sudah membuka 28 kertas siasatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, sejumlah 401 permit kempen pilihan raya yang diluluskan semasa hari terakhir berkempen 18 November lalu.

“Semua kempen yang dijalankan mempunyai permit dan tidak melanggar syarat kempen seperti yang ditetapkan.

“Sepanjang tempoh berkempen juga kita tidak mengesan sebarang insiden tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang memulakan taklimat penugasan hari mengundi seawal jam 3 pagi di perkarangan Dewan Terbuka IPD Penampang.

Taklimat disampaikan Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim kepada semua pegawai serta anggotanya yang melaksanakan tugas sepanjang hari mengundi di Parlimen Penampang dan Putatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|