PRN Johor: UMNO, BN perlu mandat kukuh untuk terajui Johor

PRN Johor: UMNO, BN perlu mandat kukuh untuk terajui Johor

Ulu Tiram (Johor): UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan mendapat mandat yang kukuh untuk kembali menerajui kerajaan negeri.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kemenangan dalam PRN kali ini akan mengembalikan kegemilangan sebagai wadah buat rakyat bersandarkan kepada kepentingan dan kesejahteraan mereka

Bung Moktar mengangkat tangan kepada jentera BN.

“Pada zaman BN mengemudi kerajaan negeri Johor, kita melihat negeri ini adalah antara negeri yang termaju di Malaysia dengan kemasukan pelaburan yang tinggi menjadikan Johor berkembang pesat dan ekonominya turut memberikan pulangan kemakmuran dan kesejahteraan untuk rakyat,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan khas jentera BN Sabah dan jentera BN tempatan bersama calon BN, di sini.

Hadir sama Pengerusi BN Tebrau, Datuk Maulizan Bujang; calon BN DUN Tiram Azizul Bachok; calon BN Puteri Wangsa, Ng Yew Aik; calon BN Johor Jaya, Chan Shan Shan dan calon BN Permas, Baharudin Mohd Taib.

Jentera BN Johor dan dari Sabah membantu kempen PRN Johor.

Bagi menghadapi PRN kali ini, Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah mengajak jentera parti BN agar sentiasa fokus, tidak lalai atau terpengaruh dengan ungkapan yang cuba mengelirukan.

“Perjungan kita bukan seperti dakwaan pembangkang sebagai dahagakan kuasa sebaliknya fitrah sebagai parti politik mahu diyakini rakyat dan berjuang untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Ketua UMNO Sabah itu berkata Malaysia telah menyaksikan kegagalan kerajaan 22 bulan mentadbir negara yang akhirnya tumbang dengan sendirinya.

Malah tegas beliau, ianya diteruskan juga dengan kegagalan kerajaan 18 bulan dalam menjaga rakyat sehingga memaksa UMNO campur tangan merombak kerajaan itu.

“Senario yang amat berbeza berbanding UMNO dikalahkan dengan propaganda pembohongan tidak bertepi pada PRU-14.

Menurutnya, beliau yakin kematangan pemikiran rakyat Johor yang melihat segala propaganda pembohongan dan kegagalan pembangkang mengurus tadbir negara ketika pemerintahan mereka akan kembali bersama BN.

“Kita faham dalam modal kempen mereka (parti lawan) ketika PRN kali ini masih ada usaha memperlekeh kemampuan UMNO bangkit.

“Meraka enggan menerima hakikat bahawa persepsi telah berubah dan rakyat tidak lagi boleh dipermainkan dengan ilusi dan propaganda yang diulang,” katanya.

Jelas beliau, realitinya pada waktu ini majoriti rakyat memperakui UMNO tewas pada PRU-14 disebabkan angkara fitnah dan tipu daya.

Bung Moktar berkata, rakyat sedar segala dasar dan polisi pentadbiran UMNO dan BN terserlah tepat lagi telus ke arah kesejahteraan dan kemakmuran yang berpanjangan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|