PRN-15: Mohamad vs Dr Daud di Kimanis?

PRN-15: Mohamad vs Dr Daud di Kimanis?

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Dr Daud Yusof diumum sebagai calon Parti Warisan (WARISAN) bagi kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengumuman dibuat Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada program jelajah parti itu di Kimanis hari ini.

Dr Daud yang juga Ahli Majlis Tertinggi WARISAN adalah pemimpin kedua diumum secara rasmi sebagai calon WARISAN pada PRU-15 selepas Bendahari WARISAN Sipitang, Adnan Puteh yang diumum sebagai calon WARISAN di kerusi Parlimen Sipitang, semalam.

Di Kimanis, Dr Daud yang menjadi ADUN Bongawan sejak 2018 dan mempertahankannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020, dijangka berdepan penyandang kerusi Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin daripada UMNO Barisan Nasional (BN).

Pada PRU-14, WARISAN meletakkan Datuk Karim Bujang untuk berdepan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang ketika itu bertanding tiket BN, namun tewas dengan majoriti tipis 156 undi.

Berikutan itu, Karim memfailkan petisyen di Mahkamah Pilihanraya sebelum kemenangan Anifah diisytiharkan batal dan tidak sah pada 2019 sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada Januari 2020.

Pada PRK berkenaan, Karim sekali lagi bertanding, namun tewas juga dengan majoriti lebih 2,000 undi di tangan Mohamad yang dicalonkan UMNO BN pada masa itu.

Selain WARISAN dan BN, Pakatan Harapan (PH) turut dijangka meletakkan calon di Kimanis.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|