Sapawi cadang penubuhan Puteri USIA

Sapawi cadang penubuhan Puteri USIA

Kota Kinabalu: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) bakal mewujudkan sayap Puteri USIA bagi membolehkan penyertaan golongan remaja wanita dalam pertubuhan itu.

Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad, berkata cadangan itu adalah langkah proaktif meremajakan USIA sebagai mendokong sayap Belia USIA dan Wanita USIA yang selama ini telah membantu dengan baik kepimpinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

Sapawi (kiri) bersama Arifin (tengah) dan Yahya (kanan) pada pelancaran Buku Khas atau Dokumen Pelan Strategik Pembugaran USIA 2022-2024 di SICC.

Katanya, menerusi penubuhan sayap Puteri USIA, ia akan membolehkan golongan remaja wanita terbabit dalam pelbagai aktiviti dilaksanakan, termasuk berkaitan pembangunan dakwah.

“Dalam memenuhi kehendak dan tuntutan untuk membangun dan mensejahterakan ummah pada era yang mencabar ini, USIA terus berperanan sebagai pelengkap kepada inisiatif dan sumbangan institusi-institusi agama Islam di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Buku Khas atau Dokumen Pelan Strategik Pembugaran USIA 2022-2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Hj Mohd Ariffin Datuk Arif, mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya; Yang Dipertua Majlis Agama Islam Sabah (MUIS), Datuk Yahya Hussin; Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Yamani Hafez Musa dan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr Kassim Md Mansur.

Sapawi berkata USIA juga akan terus memperluaskan kegiatan dan memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada, terutama dalam pelaksanaan program berkaitan dakwah.

Katanya, USIA yakin program seperti itu berupaya menyuntik semangat dalam kalangan rakyat khasnya anak-anak muda untuk sentiasa bersama dengan kepimpinan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan seluruh kepimpinan USIA berpendapat usaha murni kerajaan melalui hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sangat penting untuk disokong sepenuhnya, demi melahirkan masyarakat madani dan berdaya saing.

Mengenai pelan strategik itu, Sapawi berkata ia terhasil sebaik sahaja beliau mula menerajui USIA pada bulan Jun lepas.

“Misi yang saya perkenalkan sebelum pemilihan jawatan Yang Dipertua USIA awal bulan Jun tahun ini ialah `Bersama mengembalikan kegemilangan USIA’, memberi inspirasi kepada saya untuk menganjurkan bengkel khas.

“Bengkel itu menghimpunkan ahli Majlis Tertinggi serta Ketua Bahagian USIA bagi membolehkan mereka meluahkan idea, pandangan serta syor untuk membantu memulihkan imej USIA,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, bengkel berjaya diadakan dan merumuskan suatu pelan strategik untuk dilaksana bagi tempoh 2022-2024.

Menurutnya, Buku Khas dalam pelan strategik itu merangkumi pengurusan aset yang telus, penjanaan dan pengukuhan ekonomi, pemerkasaan dan pembangunan bidang dakwah serta pendidikan, pengujudan bank data, peningkatan peranan bidang penerangan dan media sosial USIA serta mengukuhkan integriti dalaman.

“Saya dan rakan-rakan kepimpinan di peringkat Pusat dan bahagian seluruh negeri, berusaha untuk memulihkan imej USIA.

“Kami yakin pertubuhan ini ibarat sebutir permata yang sangat berharga dan bernilai tinggi.

“Walaupun permata ini kian kabur berikutan peredaran masa,/ tetapi kami percaya ia boleh bersinar kembali jika ada usaha serius untuk menggilap dan membugarkannya semula,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|