Premis peralatan elektrik musnah terbakar

Premis peralatan elektrik musnah terbakar

Penampang: Sebuah premis yang menjual peralatan elektrik di Putatan Plaza, di sini, musnah terbakar, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, kedai berkeluasan 334 meter persegi itu membabitkan tiga lot berkenaan dilaporkan musnah sepenuhnya.

Premis menjual peralatan elektrik musnah terbakar di Putatan Plaza, Putatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zenno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, jam 1.30 petang.

Katanya, seramai 22 pegawai dan anggota bersama dua jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba Penampang dan Kota Kinabalu terus dikerah ke lokasi kejadian.

Pasukan bomba memadam kebakaran membabitkan premis elektrik di Putatan Plaza.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, operasi pemadaman terus dijalankan menggunakan tiga aliran sepanjang 60 meter dengan tiga pancutan.

“Api berjaya dikawal pada jam 3.20 petang daripada terus merebak dan memusnah sembilan lagi premis berhampiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman berdepan sedikit masalah apabila tekanan air di kawasan Putatan sangat lemah.

Bagaimanapun katanya, operasi pemadaman berjalan lancar dan kebakaran tidak melibatkan sebarang kecederaan serta kemalangan jiwa.

“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca serta jumlah kerugian,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|