PRK Bugaya mungkin diketahui dua minggu lagi

PRK Bugaya mungkin diketahui dua minggu lagi

Kota Kinabalu: Keputusan untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya mungkin diketahui dalam tempoh dua minggu lagi.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kerajaan negeri sudah memohon daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya itu.

“Kita memang ada minta, cuma bergantung dengan laporan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebab pilihan raya di Sabah ini mengikut keadaan kes Covid-19 kita yang belum memberi jaminan.

“Tetapi saya yakin Insya-ALLAH dalam seminggu dua ini kita akan tahu (mengenai keputusan diadakan PRK),” katanya kepada media selepas mempengerusikan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-Teknikal), di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkembangan PRK DUN Bugaya.

Beliau sebelum ini memaklumkan parti itu bersedia untuk mempertimbangkan meletakkan calonnya di DUN Bugaya jika PRK diadakan.

PRK DUN Bugaya tertangguh apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan darurat bagi mengelak pilihan raya diadakan untuk membendung Covid-19.

Pilihan raya perlu diadakan selepas penyandangnya, Datin Manis Muka Mohd Darah daripada Parti Warisan (WARISAN) meninggal dunia pada November 2020.

Sementara itu, diminta mengulas berhubung persediaan jentera UMNO untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, pihaknya sudah menerima surat untuk meminta jentera membantu untuk pilihan raya itu.

“Kita UMNO Sabah akan meneliti dan Insya-ALLAH. UMNO Johor, UMNO Pusat ada mengutus surat untuk meminta UMNO Sabah membantu.

“Kita akan adakan mesyuarat dan Insya-ALLAH, kita akan membantu jentera-jentera untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Johor,” katanya.

Sabtu lalu DUN Johor secara rasminya dibubarkan selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|