Covid-19 Sabah: Catatan kes terendah dalam tempoh lapan bulan

Covid-19 Sabah: Catatan kes terendah dalam tempoh lapan bulan

Kota Kinabalu: Sabah mencatat kes baharu Covid-19 antara yang terendah dalam tempoh lapan bulan sejak pertengahan Mei tahun lalu dengan catatan hanya 118 kes hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata catatan itu menunjukkan trend penstabilan yang baik dengan penurunan sebanyak 54 kes berbanding semalam.

Katanya, kes tertinggi mengikut daerah juga mencatat di bawah 20 dengan jumlah tertinggi di Kota Kinabalu iaitu hanya 17 kes hari ini.

“Hari ini hanya lima daerah mencatat kes baharu dua angka yang didahului Kota Kinabalu dengan (17 kes), diikuti Papar (15 kes), Tuaran (15 kes), Penampang (13 kes) dan Sandakan (12 kes).

“Ranau yang mencatat jumlah kedua tertinggi semalam dengan 21 kes cuma merekodkan dua kes baharu pada hari ini.

“Beaufort juga cuma mencatatkan lapan kes baharu, manakala sebanyak enam daerah tidak mencatat sebarang kes baharu,” katanya.

Jelasnya, turun naik jumlah kes harian di Sabah banyak dipengaruhi oleh kemunculan kluster baharu dari masa ke masa.

Katanya, sikap masyarakat yang bertanggungjawab seperti pematuhan kepada semua prosedur operasi standard (SOP) juga faktor penting dalam usaha mengekalkan jumlah kes baharu Covid-19 pada tahap yang rendah di Sabah.

“Semua rakyat berperanan sebagai petugas ‘barisan hadapan’ dalam usaha negeri kita membanteras penularan virus ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 114 daripada 118 kes baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, diikuti masing-masing dua kes dalam Kategori 3 dan Kategori 4, manakala tiada pesakit dalam Kategori 5.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 24 Januari 2022
Sabah 118 (172)

Kota Kinabalu 17 (31)
Papar 15 (21)
Tuaran 15 (11)
Penampang 13 (17)
Sandakan 12 (17)
Beaufort 8 (19)
Kota Marudu 7 (3)
Putatan 6 (5)
Tawau 4 (3)
Lahad Datu 3 (2)
Keningau 3 (2)
Tenom 3 (6)
Ranau 2 (21)
Sipitang 2 (0)
Kota Belud 2 (7)
Tambunan 1 (0)
Kuala Penyu 1 (5)
Telupid 1 (0)
Kinabatangan 1 (0)
Kunak 1 (0)
Kudat 1 (0)
Semporna 0 (1)
Beluran 0 (1)
Nabawan 0 (0)
Pitas 0 (0)
Tongod 0 (0)
Kalabakan 0 (0)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 23 Januari 2022

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|