Polis serbu lokasi sabung ayam

Polis serbu lokasi sabung ayam

Tawau: Sekumpulan kaki judi sabung ayam yang menjadikan kawasan lapang di Kampung Iban, Jalan Jakau, di sini, sebagai tempat menyabung ayam bertempiaran lari sebaik lokasi itu diserbu polis.

Namun tiga lelaki termasuk seorang warganegara asing dapat ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Lokasi sabung ayam di kawasan lapang di Kampung Iban, Jakan Jakau, Tawau.

Ketika serbuan kira-kira jam 4 petang, pada 23 Oktober lalu, kumpulan berkenaan sedang bertarung.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, serbuan menerusi Operasi Cantas itu dijalankan hasil risikan dan maklumat awam.

Lelaki yang ditahan bersama beberapa ekor ayam sabung.

“Ketika serbuan dijalankan, polis turut merampas beberapa ekor ayam sabung serta sejumlah wang tunai.

“Hasil siasatan mendapati lokasi berkenaan disyaki dijadikan sebagai tempat kegiatan perjudian dan aktiviti sabung ayam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua suspek berusia lingkungan 60 hingga 61 tahun dan barang rampasan dibawa ke balai Polis untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|