PM arah tubuh satu jawatankuasa khas siasat KPPA dengan pegawai JIM

PM arah tubuh satu jawatankuasa khas siasat KPPA dengan pegawai JIM

Serdang: Satu jawatankuasa khas diarah ditubuhkan bagi menyiasat ‘perbalahan’ Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dengan seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) baru-baru ini.

Memetik laporan Astro Awani, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali sudah diminta untuk menentukan pemilihan ahli jawatankuasa itu nanti.

“Kita minta supaya KSN melihat perkara ini dan menubuhkan jawatankuasa di peringkat dalaman untuk menyiasat perkara ini. Kita kena berlaku adil kepada semua pihak…yang mengadu, yang diadu.

“Kita serahkan kepada satu jawatankuasa, akan ditentukan oleh KSN, siapa pengerusi dan sebagainya untuk membuat siasatan secara dalaman.

“Jadi ahli jawatankuasa itu mungkin daripada luar. Ada yang mencadangkan Peguam Negara sebagai pengerusi tapi itu saya serahkan kepada KSN,” katanya kepada media selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Beliau dalam masa sama berharap jawatankuasa itu dapat ditubuhkan secepat mungkin untuk menyiasat sebaiknya insiden berkenaan.

“Kita serah kepada jawatankuasa, mereka siasat. Bukan susah sangat sebab saya lihat ada video. Mereka perlu memanggil saksi, kedua-dua belah pihak dan mereka akan buat keputusan.

“Kita bincang, tak mahu timbul ada perpecahan dalam kakitangan kerajaan. Suasana harmoni dalam kerajaan perlu dikekalkan,” katanya.

Beberapa media sebelum ini melaporkan tular dakwaan Mohd Shafiq menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kakitangan JIM dalam kejadian yang berlaku antara 8.40 hingga 9.40 pagi di KLIA.

Bagaimanapun, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menafikan tuduhan Ketua Pengarahnya mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai JIM yang bertugas di KKIA.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|