Persidangan DUN Sabah: Sawit Kinabalu keluarkan minyak masak jenama ‘Sayang’

Persidangan DUN Sabah: Sawit Kinabalu keluarkan minyak masak jenama ‘Sayang’

Kota Kinabalu: Kumpulan Sawit Kinabalu akan mengeluarkan minyak masaknya sendiri sebelum hujung tahun ini, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Katanya, langkah itu sebagai usaha menambah bekalan minyak masak di pasaran negeri ini.

“Kumpulan Sawit Kinabalu akan mengeluarkan minyak masak jenama Sayang sebelum hujung tahun ini bagi menambah bekalan minyak masak di pasaran,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) berhubung langkah kerajaan negeri bagi mengatasi masalah kenaikan harga barangan keperluan yang membebankan rakyat.

Sebelum itu, Shahelmey memaklumkan bahawa Sabah telah mendapat tambahan kuota minyak masak paket satu kilogram berjumlah 5,661 metrik tan sebulan.

“Daripada jumlah kuota bulanan 5,661 metrik tan, sebanyak 150 metrik tan sebulan diagihkan kepada syarikat Sabaras Sdn Bhd yang merupakan syarikat membungkus semula bagi paket minyak masak jenama Onsoi.

“Baki kuota bulanan 5,511 metrik tan diagihkan kepada 35 syarikat membungkus semula minyak masak paket pelbagai jenama yang lain,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|