Persidangan DUN Sabah: DUN Sabah lulus kenaikan gaji anggota pentadbiran, ADUN

Persidangan DUN Sabah: DUN Sabah lulus kenaikan gaji anggota pentadbiran, ADUN

Kota Kinabalu: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan (Saraan) (Pindaan) 2022 berkaitan kenaikan emolumen atau gaji Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) dan anggota pentadbiran kerajaan.

Ia merangkumi gaji Ketua Menteri, Timbalannya, Menteri, Speaker, Pembantu Menteri, Timbalan Speaker, ADUN dan Setiausaha Politik.

Kelulusan enakmen berkenaan diumumkan Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Ahmad Abdul Rahman selepas bacaan kali ketiga yang dipersetujui sebulat suara anggota Dewan pada persidangan DUN Sabah, hari ini.

Terdahulu, ketika bacaan kali kedua, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, berkata beliau tidak menafikan wujud persepsi apabila DUN mengambil keputusan untuk menimbangkan Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan.

“Tetapi seperti yang saya katakan tadi, yang penting kerajaan mempunyai satu usaha atau dasar yang baik untuk memastikan bahawa rakyat kita terutama daripada golongan kurang berkemampuan dibantu, kita ada dasar yang baik dan dengan adanya emolumen atau gaji ini juga digunakan oleh wakil rakyat untuk membantu rakyat.

“Inilah budaya kita di Sabah sekarang ini setiap hari wakil rakyat akan dikunjungi oleh rakyat mereka. Saya setuju setengahnya mungkin gaji yang diterima ini, emolumen ini tidak cukup untuk membantu rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan mengambil inisiatif untuk menaikkan kadar emolumen supaya dapat meringankan sedikit tanggungjawab dari segi kewangan dalam kalangan anggota kerajaan dan wakil rakyat.

Selain itu, katanya implikasi kewangan akibat kenaikan berkenaan tidak juga membebankan kerana hanya melibatkan peruntukan kira-kira RM5.6 juta setahun saja, iaitu tanggungan kerajaan jika RUU itu diluluskan.

Berdasarkan kenaikan itu, gaji yang diterima Ketua Menteri Sabah dicadangkan naik kepada RM33,033 berbanding RM23,595 ketika ini, manakala gaji Timbalan Ketua Menteri pula dicadangkan naik kepada RM29,221.50 berbanding RM20,872.5 ketika ini.

Bagi gaji Menteri dan Speaker pula, kadar baharu yang dicadangkan ialah RM22,869 berbanding RM16,335 ketika ini, manakala gaji ADUN dicadangkan naik kepada RM11,130 berbanding RM7,950 ketika ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|