Persidangan DUN: KPMKR cadang wujudkan program baharu bantu keluarga daif

Persidangan DUN: KPMKR cadang wujudkan program baharu bantu keluarga daif

Kota Kinabalu: Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) bercadang untuk mewujudkan sebuah program baharu untuk membantu keluarga dari golongan daif demi kesejahteraan mereka.

Walau bagaimanapun, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejateraan Rakyat, Datuk Flovia Ng berkata, cadangan itu masih dalam proses kajian di JPKA.

Oleh itu, katanya, JPKA masih menyediakan bantuan kewangan bulanan kepada golongan rentan dan yang memerlukan.

“Antaranya ialah Skim Bantuan Am, Skim Bantuan Anak Yatim, Bantuan Warga Emas, Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Penjagaan OKU/ Pesakit Terlantar, Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja dan Elaun Pekerja Cacat.

“Berhubung dengan segelintir mereka yang telah dihentikan bantuan kebajikan, kemungkinan besar disebabkan oleh mereka yang tidak melapor dalam tempoh tiga bulan sekali kepada Pejabat Kebajikan Daerah masing-masing.

“Atau mereka yang hilang kelayakan disebabkan oleh umur kanak-kanak melebihi 18 tahun untuk bantuan kanak-kanak atau mereka yang telah meninggal dunia,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan Dr Daud Yusof (WARISAN – Bongawan) mengenai inisiatif yang boleh diberikan kepada orang tua, keluarga daif dan miskin tegar kerana ada segelintir daripada mereka telah dihentikan bantuan kebajikan.

Sementara itu, Flovia berkata, berhubung dengan isu mereka yang masih menunggu bantuan kebajikan, jumlah peruntukan tahunan yang disediakan untuk bantuan kebajikan terutamanya untuk warga emas adalah terhad.

“Oleh yang demikian bukan semua warga emas dapat diberi pertimbangan dalam permohonan baharu mereka dan mereka perlu memenuhi syarat kelayakan permohonan serta tertakluk kepada kedudukan kewangan sedia ada yang belum ada komitmen.

“Selain daripada sistem sedia ada, Kementerian melalui JPKA telah membangunkan satu sistem baharu permohonan bantuan kewangan secara dalam talian (online) yang akan beroperasi pada 1 Januari 2023.

“Oleh itu bagi mereka yang memerlukan permohonan bantuan tersebut bolehlah melayari pautan ini (https://jpka.sabah.gov.my),” katanya.

Jelasnya, permohonan dalam talian ini disediakan untuk memberi kemudahan kepada mereka yang memerlukan bagi keselesaan dan kesejahteraan mereka.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|