Persidangan DUN: Kerajaan Negeri sedia peruntukan tahunan penyelenggaraan institusi pendidikan

Persidangan DUN: Kerajaan Negeri sedia peruntukan tahunan penyelenggaraan institusi pendidikan

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menyediakan peruntukan penyelenggaraan institusi pendidikan setiap tahun bertujuan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih di sekolah.

Walau bagaimanapun, Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan, Datuk Mohd Arifin Arif berkata, peruntukan yang disalurkan bagi tujuan tersebut adalah terhad.

Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu merancang dan menyusun keutamaan dalam menguruskan peruntukan yang ada.

“Secara lazimnya, pihak sekolah memohon peruntukan penyelenggaraan melalui PPD. Namun, usaha pihak sekolah memohon dengan wakil rakyat masing-masing adalah inisiatif sekolah.

“Yang menerima permohonan ini bolehlah memanjangkan perkara tersebut kepada PPD atau JPN untuk perhatian dan tindakan dan untuk makluman, JPN ada menyediakan peruntukan khas bagi bencana banjir dan lain-lain kecemasan (luar jangka).

“Manakala, bagi kerja selenggara yang lain, JPN dan PPD melaksanakan kerja selenggara berpandukan kepada keutamaan dan peruntukan yang ada.

“Kerajaan dari masa ke masa berusaha mempertingkatkan kualiti prasarana di sekolah. Untuk rekod, sejak 2020 hingga 2022 kerajaan telah memperuntukkan RM248,289,780.48 melibatkan 1,969 projek.

“Walau bagaimanapun, kerajaan menyedari masih wujud keperluan penyelenggaraan dan baik pulih di sekolah-sekolah

“Untuk tahun 2023, JPN menganggarkan keperluan adalah tinggi mencecah ratusan juta ringgit, namun secara realistiknya JPN tidak akan dapat menyediakan peruntukan kepada semua 1,297 sekolah di negeri ini.

“Justeru, JPN sentiasa meneliti dan menyusun strategi dan merancang keutamaan kerja selenggara,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan Datuk Annuar Ayub (STAR – Liawan) sekiranya kerajaan menyediakan apa-apa peruntukan khas berkaitan penambahbaikan kemudahan-kemudahan di sekolah-sekolah di negeri ini kerana ADUN sering menerima permohonan sumbangan untuk hal sedemikian.

Sementara itu, Arifin berkata,Kerajaan negeri melalui kementeriannya turut menyediakan beberapa inisiatif bantuan, antaranya ialah Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) dan Bantuan Aktiviti Guru dan Ibubapa Sabah (BAGUS).

“BISBAH merupakan bantuan bagi pembekalan alat-alat kelengkapan sekolah seperti komputer, mesin pencetak dan multimedia projektor, perabot, dan lain-lain peralatan sekolah bertujuan untuk menambahbaik suasana pembelajaran di sekolah-sekolah seluruh negeri Sabah.

“Bagi inisiatif ini Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukkan sebanyak RM 12.6 juta yang akan memberi manfaat kepada 1,500 buah sekolah.

“Manakala, BAGUS merupakan bantuan peruntukan ‘One-Off’ sebanyak RM2,000.00 kepada setiap PIBG sekolah. Bantuan ini, akan memberi manfaat kepada 1,500 PIBG sekolah di seluruh negeri Sabah dengan jumlah peruntukkan sebanyak RM 3 juta.

“Melalui bantuan ini, Kementerian ini yakin ia dapat digunakan dengan sebaiknya untuk menambahbaik kemudahan-kemudahan di sekolah selain untuk melaksanakan aktiviti PIBG di sekolah berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga merancang untuk menyediakan peruntukan bagi pembaikkan dan penyelenggaraan kecil sekolah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|